Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengeluarkan larangan kenderaan barangan (road-ban) berada di jalan raya khususnya lebuhraya sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini.
Larangan ini akan dikuatkuasakan pada 20-21 April (sebelum perayaan) dan 24-25 April 2023 (selepas perayaan) bagi mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya kenderana persendirian yang pulang ke kampung halaman.
“Tujuan utama road-ban ini adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian,” ujar kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut MOT, kategori 1 melibatkan larangan sepanjang masa iaitu dalam tempoh yang dinyatakan. Ia melibatkan kenderaan berat termasuk car carrier, tipper, dumper, dan tiping yang yang muatannya melebihi 7,500 Kilogram (kg), low loader, pole trailer, bulk cement tanker, platform trailer, lori balak, jentera berat beroda dan traktor.
Bagi kategori 2 pula, tempoh larangannya bermula jam 12 tengah malam hingga 8 pagi membabitkan kenderaan lori kontena yang mengangkut barangan selain lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri sama dan sebaliknya. Serta lori mengangkut hasil pengeluaran kelapa sawit, dan getah, serta lori kargo tanpa muatan.
Seterusnya bagi kategori 3 pula membabitkan kren bergerak dan lori pembancuh simen, tempoh larangannya bermula jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.
Bagaimana pun, menurut MOT, jentera berat beroda dan kren bergerak diberi pengecualian melaksanakan kerja-kerja kecemasan. “Manakala kenderaan barangan atau jenis barangan yang tidak dinyatakan dibenarkan untuk berada di jalan raya pada tempoh waktu larangan ini,” tambahnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.