Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk Mac 2023, menyaksikan sebanyak 78,849 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli pada bulan lalu. Jumlah tersebut ternyata melebihi apa yang dicapai pada Februari 2023 iaitu sebanyak 15,339 unit dengan 63,510 unit yang direkodkan pada bulan lalu, mewakili peningkatan sebanyak 24.15%.
Rekod jualan yang dicatatkan pada Mac 2023 menjadi prestasi terbaik bagi jumlah keseluruhan jualan (TIV) bulanan setakat ini, melepasi pencapaian yang dicatatkan pada Disember lalu dengan 76,657 unit.
Persatuan ini berkata lonjakan angka tersebut disebabkan syarikat pengeluar kereta yang bertungkus lumus memenuhi tempahan yang dibuat dalam tempoh pengecualian cukai jualan yang berakhir pada hujung Mac. Selain itu, ia turut dipengaruhi oleh usaha syarikat pengedaran dalam menghantar tempahan pelanggan sebelum tahun kewangan berakhir pada 31 Mac.
Berbanding bulan yang sama pada 2022, Mac tahun ini merekodkan angka yang lebih tinggi cecah 7.64% (atau 5,599 unit) berbanding 73,250 unit yang dicapai tahun lalu. Manakala TIV untuk tiga bulan pertama tahun 2023 pula kini cecah 192, 474 unit, lebih 32,628 unit (atau 20.4%) berbanding 159,846 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
MAA turut meramalkan jualan untuk April lebih rendah berbanding Mac disebabkan waktu bekerja yang lebih pendek disebabkan cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.