Kes pengguna jalan raya disaman kerana tak pamer cukai jalan – polis akui kesilapan, anggota disiasat

Kes pengguna jalan raya disaman kerana tak pamer cukai jalan – polis akui kesilapan, anggota disiasat

Susulan kes seorang pengguna jalan raya yang mendakwa dia disaman oleh polis kerana memandu kenderaan yang tidak dilekat dengan pelekat cukai jalan semalam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru sahaja mengeluarkan kenyataan bahawa kes itu telah diselesaikan dan mengakui ia adalah kesilapan yang dibuat oleh anggotanya.

“Pada 18/04/2023, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah mengesan satu posting yang dimuat naik di laman sosial Facebook menggunakan pemilik akaun benama “Faiz Sulaiman” yang telah berkongsi satu posting dan gambar sehelai saman POL. 257 yang telah dikeluarkan kepada beliau.

“Semakan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya mendapati, saman tersebut telah dikeluarkan oleh anggota polis peronda pada 16/04/2023 atas kesalahan gagal mempamer cukai jalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Petaling Jaya,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Bin Abdul Hamid dalam kenyataan yang baru sahaja dikeluarkan.

Beliau turut menyatakan bahawa arahan telah dikeluarkan kepada petugas-petugas di lapangan untuk tidak mengeluarkan saman berkaitan kesalahan tidak mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan telah diumumkan oleh menterinya, Anthony Loke pada Februari lalu.

Kes pengguna jalan raya disaman kerana tak pamer cukai jalan – polis akui kesilapan, anggota disiasat

Fakhrudin turut mengesahkan siasatan dalaman akan dibuat ke atas anggota terlibat atas kecuaian yang dilakukan serta saman berkenaan telah pun dibatalkan.

Terdahulu Faiz Sulaiman telah membuat hantaran di akaun Facebook miliknya menyatakan bahawa dia telah disaman kerana tidak mempamerkan pelekat cukai jalan pada cermin hadapan, serta tidak menunjukkan cukai jalan digital pada aplikasi digital kerana kereta tersebut adalah milik pelanggan.

Ia jelas bercanggah dengan apa yang ditulis dalam laman sesawang Kementerian Pengangkutan sendiri di mana pengguna jalan raya kini tidak lagi diwajibkan menampal pelekat cukai jalan dan tidak wajib menggunakan aplikasi MyJPJ kerana pegawai penguatkuasa boleh memeriksa maklumat tersebut menggunakan peranti yang telah dibekalkan.

Namun siang tadi Faiz telah memadam hantaran tersebut dan menyatakan bahawa pihak berkuasa telah menghubunginya dan mengakui kesilapan yang dibuat oleh anggota terbabit.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required