Juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) sembilan kali, Sebastien Loeb diumum akan kembali untuk berlumba dalam musim penuh Kejohanan Rallycross Dunia (World RX) bermula tahun ini bersama pasukan Special One Racing.
Bagi yang belum mengetahui, World RX kini menampilkan kelas RX1e bagi menggantikan kategori RX1 Supercar sebelum ini, menyaksikan kesemua jentera yang bertanding dalam kelas tertinggi tersebut dijana dengan kuasa elektrik sepenuhnya. Untuk itu Special One Racing memilih Lancia Delta Evo-e RX binaan GCK Motorsport untuk bertanding dalam WRX kali ini.
Dua buah Delta Evo-e RX akan digunakan oleh pasukan tersebut, di mana sebuah lagi akan dipandu oleh pemilik pasukan Special One dan GCK Motorsport sendiri iaitu Guerlain Chicherit.
GCK Motorsport menggunakan asas Lancia Delta Integrale sebenar sebagai asas Delta Evo-e RX ini, dan bukannya sebuah jentera baharu yang kelihatan seperti kereta klasik tersebut. Sama seperti jentera-jentera RX1e yang lain, Delta Evo-e RX turut menerima kit rangkaian kuasa dua motor elektrik pacuan empat roda yang dibangunkan oleh Kreisel Electric dari Austria, menghasilkan 500 kW atau 680 hp.
Selain dari jentera rallycross sebenar ini, GCK Motorsport turut menghasilkan Lancia Delta Evo-e untuk dijual dalam pasaran umum, iaitu model restomod Delta Integrale yang masih nampak seperti model asal, tetapi enjin 2.0 liter turbo telah digantikan dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.
Ini bukan penampilan pertama Loeb dalam WRX. Sebelum ini Loeb pernah menyertai kejohanan berkenaan bermula musim 2016 sehingga 2018 dengan memandu Peugeot 208. Sepanjang tempoh tersebut Loeb telah memulakan 36 perlumbaan, dan 15 daripadanya ditamatkan dengan kedudukan podium.
“Saya dari generasi yang menyaksikan Lancia Delta menang dalam banyak perlumbaan rali, jadi secara semula jadi saya mempunyai kelemahan terhadap kereta ini,” kata Loeb yang kini sudahpun berusia 49-tahun.
“Tetapi Guerlain yang mula-mula bercakap dengan saya berkenaan berlumba dalam musim penuh menggunakannya, saya ingat dia gila! Selepas itu saya cuba kereta ini Disember lalu dan terus yakin dengan kualiti dinamiknya. Saya mempunyai kepercayaan yang besar terhadap projek ini dan saya tak sabar untuk menang dengannya di litar seluruh dunia.
“Saya sangat bermotivasi untuk cabaran ini, dan saya rasa rallycross merupakan disiplin yang sesuai untuk elektrifikasi kerana ia mempunyai kuasa yang banyak dan perlumbaannya singkat. Kereta-kereta ini sangat mengujakan untuk dipandu, dan World RX merupakan platform yang sempurna untuk menunjukkan evolusinya. Persembahan di litar sangat menakjubkan, dengan persaingan sengit dan aksi lebih menarik dari sebelum ini, dan sekarang kita ada peluang untuk menarik peminat generasi baharu,” jelas Loeb.
World RX untuk musim 2023 ini akan bermula Jun nanti dengan pusingan pertama akan dilangsungkan di Montalegre, Portugal pada 3 hingga 4 Jun, diikuti pusingan-pusingan Eropah yang lain. Ia kemudiannya akan di bawa ke Cape Town, Afrika Selatan dan Hong Kong untuk perlumbaan musim bunga nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.