Mercedes-Benz E-Class W214 2024 – Hibrid ringkas, jarak EV hingga 115 km; MBUX Superscreen

Mercedes-Benz E-Class W214 2024 – Hibrid ringkas, jarak EV hingga 115 km; MBUX Superscreen

Generasi terkini Mercedes-Benz E-Class telah pun diperkenalkan, dan sedan saiz pertengahan ini sudah menjejaki generasi ke-10. Dengan kod nama W214, model terbaharu ini berukuran 4,949 mm panjang, 1,880 mm lebar dan 1,468 mm tinggi dengan jarak roda 2,961 mm, menjadikan ia lebih besar sebanyak 20 mm berbanding model sebelumnya generasi W213. Sekaligus memberikan kelebihan pada ruang penumpang, dan meningkatkan kapasiti ruang penyimpanan barang mencecah 540 liter.

E-Class W214 ini juga masih menggunakan banyak elemen yang sama seperti mana model terdahulu, termasuklah bahagian hadapan yang menampilkan kemasan hitam berkilat di antara gril dan lampu utama. Manakala bagi versi elektrik, ia diberikan penggayaan ala barisan EQ.

Untuk lampu hadapannya, ia turut hadir dengan lampu nyalaan siang LED yang mirip dengan bentuk kening, menurut Mercedes-Benz dan bahagian bonet pula menampilkan bentuk permukaan ‘power dome’. Pemegang pintu ‘ke dalam’ juga diberikan, sama seperti model lain termasuk EQE – yang ditawarkan sebagai pilihan, sementara lampu belakang hadir dengan motif tiga bintang bagi setiap dua unitnya.

Barisan penjana kuasa bagi E-Class W214 ini terdiri daripada tiga enjin hibrid ringkas (satu petrol dan dua diesel), bersama tiga hibrid elektrik petrol; yang kesemua diberikan konfigurasi empat-silinder sebaris.

Bagi enjin PHEV elektrik-petrol, ia dibarisi E 300 e, E 300 e 4Matic dan E 400 e 4Matic. Untuk E 300 e, bersama pek 4Matic (AWD) diberikan unit petrol 1,999 cc dengan hamburan kuasa 204 hp dan tork 320 Nm, dan dipadankan bersama motor elektrik yang mampu memberikan 129 hp dan 440 Nm, menjadikan kuasa keseluruhannya mencecah 308 hp dan 550 Nm.

Manakala untuk varian E 400 e 4Matic pula, ia mampu menghasilkan 252 hp dan tork 400 Nm dari enjin petrol, dipadankan dengan motor elektrik yang sama dengan E 300, namun dapat memberikan kuasa keseluruhan cecah 375 hp dan 650 Nm.

Bagi penjana kuasa hibrid ringkas, ia menampilkan pilihan dua enjin diesel dan satu enjin petrol. Untuk varian E 220 d yang turut diberikan pek 4Matic AWD, ia hadir dengan unit 1,993 cc turbodiesel dengan hamburan kuasa 197 hp pada 3,600 rpm dan 440 Nm dari 1,800 hingga 2,800 rpm. Varian petrol untuk pasaran Eropah pula ialah E 200 dengan enjin petrol 1,999 cc turbo bersama kuasa 204 hp pada 5,800 rpm dan 320 Nm dari 1,800 rpm hingga 4,000 rpm.

Manakala pasaran Amerika Utara pula menerima varian E 350 4Matic, dengan enjin 2.0 liter turbo petrol dengan kuasa 255 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm dari 2,000–3,000 rpm, bersama varian E 450 4Matic petrol enam-silinder dengan kuasa 375 hp dari 5,800–6,100 rpm dan 500 Nm dari 1,800–5,000 rpm.

E 220 d mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 7.6 saat dan kelajuan maksimum cecah 238 km/j (7.8 saat dan 234 km/j untuk 4matic), sementara E 200 petrol pula dengan 7.5 saat bagi 0-100 km/j dan kelajuan tertinggi cecah 240 km/j.

Mercedes-Benz E-Class W214 2024 – Hibrid ringkas, jarak EV hingga 115 km; MBUX Superscreen

Manakala E 300 pula, untuk pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 6.4 saat dan kelajuan maksimum cecah 236 km/j. Sementara versi 4Matic pacuan-semua roda pula lebih perlahan dengan 6.5 saat bagi 0-100 km/j dan kelajuan maksimum 234 km/j. Untuk E 400 e 4Matic pula, ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.3 saat, dan kelajuan maksimum cecah 250 km/j.

Untuk ketiga-tiga varian PHEV elektrik-petrol, ia diberikan bateri 25.4 kWh, dengan kedua-dua varian 4Matic boleh mencapai 109 km bagi jarak elektrik, sementara E 300 cecah 115 km; kesemua angka itu berdasarkan protokol EAER WLTP.

Bagi casis pula, E-Class W214 menggunakan konfigurasi empat topang bagi suspensi hadapan, dan roda belakang dengan bentangan suspensi lima-sambungan. Kelengkapan standard bagi penjana kuasa hibrid ringkas termasuklah Agility Control steel-sprung suspension dengan peredam boleh laras dan lebih rendah sebanyak 15 mm berbanding varian PHEV.

Kit suspensi udara pilihan pada W214 termasuklah pek Teknologi, merangkumi larasan Airmatic dengan ADS+ continuously variable damping. Larasan stereng gandar belakang turut diberikan sebagai pilihan dengan menawarkan 4.5 darjah bagi sudut stereng untuk roda belakang, dengan mengurangkan kitaran pusingan sehingga 90 cm, menurut Mercedes-Benz.

Di dalamnya, E-Class W214 diberikan paparan infotainmen pelbagai-skrin yang dipanggil Superscreen. Ia merangkumi skrin penumpang hadapan dan paparan utama dengan resolusi tinggi di tengah untuk pemandu sebagai instrumentasi.

Superscreen ini juga menawarkan kamera video dengan fungsi selfie yang diletakkan di atas papan pemuka, dilengkapi ciri hiburan dengan aplikasi pihak-ketiga. Untuk pasaran Eropah, aplikasi yang diberikan termasuklah TikTok, permainan Angry Birds, Webex, Zoom dan juga enjin pencari Vivaldi.

Walaupun penumpang hadapan boleh menonton kandungan dinamik pada skrin penumpang, pemandu akan disekat daripada melihat kandungan pada paparan penumpang hadapan untuk mengelakkan gangguan berasaskan skrin.

Kemudahan untuk E-Class W214 termasuk Digital Vehicle Key, yang boleh digunakan bersama Apple iPhone dan Apple Watch, yang boleh dikongsikan sehingga 16 orang dalam satu masa. Pemilik juga boleh memilih operasi berbeza untuk setiap individu berbeza, seperti hanya memberi akses statik kepada kenderaan atau membenarkan ia dipandu.

Mercedes-Benz E-Class W214 2024 – Hibrid ringkas, jarak EV hingga 115 km; MBUX Superscreen

Ketika kenderaan bergerak, penumpang juga boleh menggunakan program kesihatan Energizing Comfort yang bertujuan untuk mengurangkan gejala mabuk (motion sickness), sementara program Energizing Coach pula menawarkan cadangan kepada pengguna bagi kemudahan lain. Sebagai sebahagian daripada pilihan kawalan suhu Thermotronic, Digital Vent Control membolehkan corong udara untuk dilaraskan secara tatapan digital kepada program pengudaraan tertentu, dan boleh dilakukan untuk setiap tempat duduk melalui profil pengguna. Muncung penghawa dingin masih boleh dilaraskan secara manual.

Kelengkapan ADAS bagi E-Class W214 ini termasuk Active Distance Assist, Attention Assist, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist, Parking Package dengan kamera undur dan Speed Limit Assist. Attention Assist kini ditambahkan dengan amaran gangguan pemandu dan ia akan memberikan amaran kepada pemandu secara visual dan akustik. Sekiranya pemandu gagal memberikan respons terhadap amaran berkenaan, kenderaan akan berhenti secara kecemasan menerusi fungsi Active Emergency Stop Assist.

Pilihan lain yang turut diberikan termasuklah Driving Assistance Plus yag menambah Active Steering Assist serta fungsi kekal lorong. Bagi W214, apabila tanda lorong tidak lagi jelas kelihatan, dan Active Steering Assist tidak berfungsi, sistem akan memberikan amaran kepada pemandu menerusi getaran pada roda stereng.

Untuk pasaran Eropah, Mercedes-Benz E-Class generasi W213 akan mula dijual di bahagian utara mulai musim panas ini, dan kumpulan pertama dijangka akan tiba di bilik pameran pada musim luruh 2023.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required