BHPetrol telah melancarkan stesen minyak terbaharunya yang terletak di Bandar Baharu Salak Tinggi, Sepang, Selangor, pagi tadi. Ini merupakan stesen minyak BHPetrol yang ke-74 di Selangor dan baru sahaja beroperasi sejak 12 Januari lalu.
Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Ir. Azizul Azily Ahmad selaku CEO BHPetrol.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri, dan BHPetrol turut mengundang anak-anak yatim dari Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) untuk memberi sumbangan kepada mereka. Majlis turut diserikan dengan persembahan khas dari artis terkenal, Aliff Satar dan juga band ATM sendiri.
“Saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada pengusaha stesen ini, iaitu Mohamed Asri Bin Jaafar dan Muhammad Akmal Bin Mohamed Asri atas pembukaan stesen baru dan saya mendoakan agar perniagaan ini dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat. Saya juga berharap stesen ini boleh dikendalikan dengan baik dan mencapai objektif pembukaannya,” kata Ir. Azizul dalam majlis pelancaran ini.
“Seperti yang kita tahu, BHPetrol ialah sebuah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera Darat (LTAT). Selama penubuhan BHPetrol, kami banyak bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) bagi membantu dalam memastikan kebajikan veteran ATM ini terjaga. Oleh itu, setiap tahun, kita mempunyai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dikenali sebagai Di Celah-Celah Kehidupan ataupun DCCK. Di mana kami menjejaki para veteran askar yang tidak berpencen tetapi masih gigih mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan.
“Seperti hari ini, kami tidak lupa menjemput anak-anak yatim daripada JHEV untuk bersama meraikan Hari Raya. Kami memandang serius tentang kelangsungan hidup para veteran memandangkan jasa yang telah ditabur kepada negara satu masa dahulu semasa dalam perkhidmatan mereka. Ia juga menjadi salah satu Agenda Kerajaan untuk membantu warga tentera sama ada yang masih dalam perkhidmatan atau sudah bersara bagi memastikan nasib mereka terbela,” tambahnya lagi.
Dalam ucapan perasmian majlis ini, Datuk Azman pula berkata, “Perasmian stesen minyak BHPetrol hari ini merupakan lonjakan yang baik buat BHPetrol bagi memperluas jenama ini kepada komuniti pengguna khususnya di kawasan persekitaran Salak Tinggi ini. BHPetrol sememangnya satu jenama yang mempunyai sumbangan besar kepada negara bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi negara daripada sektor minyak dan gas, malah mempunyai sumbangan besar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saya berasa bangga kerana sumbangan kebajikan kepada persara dan veteran ATM juga turut menjadi keutamaan oleh BHPetrol melalui program tanggung jawab sosial korporat (CSR) mereka seperti program Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) yang baru sahaja selesai ditayangkan pada bulan Ramadan yang lalu di TV1. Program ini telah dilaksanakan sejak tahun 2011 dan tahun ini masuk tahun ke-13 pelaksanaannya. Syabas diucapkan!”
- default
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.