Dalam sembilan filem dari franchais The Fast and The Furious, bagi penulis sendiri antara jentera terbaik pernah muncul adalah Nissan Skyline GT-R R34 berwarna biru, dipandu oleh watak Brian O’Conner (lakonan mendiang Paul Walker) dalam Fast and Furious 4 yang ditayangkan pada 2009.
Ini kerana ia adalah kereta dengan JDM paling asli, tanpa kit aero dan grafik badan mengarut, bersama bahagian kokpit seperti sebuah kereta lumba sebenar yang pernah ditampilkan dalam siri filem tersebut. Kereta sebenar yang digunakan dalam filem itu juga sebenarnya telah di lelong oleh Bonhams baru-baru ini, dan ia terjual pada harga USD1.18 juta (sekitar RM5.25 juta), atau USD1.357 juta (sekitar RM6 juta) termasuk bayaran lain yang dikenakan!
Ini bermakna R34 GT-R ini direkodkan sebagai Skyline GT-R paling mahal pernah dijual setakat ini, mengatasi rekod Nissan Skyline GT-R R33 Nismo 400R yang terjual pada harga 130 juta yen (sekitar USD1 juta atau RM4.3 juta) di Jepun awal tahun ini.
Unit GT-R R34 sebenar yang dipandu oleh Paul Walker ini dikenali dengan nombor casis ‘BNR34-400109’. Untuk tampil dalam filem berkenaan, ia terlebih dahulu diubahsuai oleh Kaizo Industries. Unit tersebut sebenarnya dibeli sendiri oleh Kaizo Industries di Jepun dan di bawa ke Amerika Syarikat tanpa enjin.
Ia diisytihar sebagai ‘kit car’ dengan enjin berasingan dan bukan kereta sebenar bagi membolehkan ia sah berada jalan di atas jalan raya, kerana ketika itu R34 masih lagi tidak dibenarkan untuk diimport masuk ke AS kerana ia tidak dibawa secara rasmi ke sana oleh Nissan, dan belum cukup 25-tahun untuk dibawa masuk secara sah sebagai kereta klasik.
Selepas ia didaftarkan secara sah pada 2002, Kaizo membina semula R34 tersebut mengikut spesifikasi yang dimahukan oleh Paul Walker. Pada sebelah luar, R34 ini tampil dengan warna ikonik Bayside Blue, dan ubahsuai yang dibuat hanyalah pemadanan bampar hadapan dan skirt sisi dari Nismo, bonet hadapan dari East Bear serta diberikan set rim 19-inci Volk Racing RE30.
Dalam kabin, Paul mahukan skrin paparan konsol tengah MFD Xenarc Display bersaiz besar bagi menggantikan skrin asal GT-R R34 yang didakwa berharga hampir GBP8,500 (sekitar RM46k), serta roll cage yang dibuat khas, tempat duduk belakang dicabut, serta pemadanan sepasang tempat duduk bucket OMP lengkap dengan tali pinggang perlumbaan lima-poin di hadapan.
Selain itu, ia turut menerima roda stereng Momo Sport balutan Alcantara, set pedal Nismo V-Spec, serta skrin untuk pemain audio utama dari Sony.
Enjin RB26DETT yang disumbat masuk ke dalam badan R34 ini juga menerima sentuhan semula dari Kaizo. Ia membabitkan pemadanan unit intercooler lebih besar dari Turbonetics, sistem ekzos Nismo NE-1 serta tekanan boost turbo yang ditingkatkan bagi membolehkan ia bernafas dengan 550 hp.
Sistem brek turut dipertingkat dengan angkup enam omboh dan empat omboh di belakang dari Rotora. Manakala untuk pengendalian pula ditambah baik menerusi penukaran spring suspensi asal kepada komponen dari Nismo serta strut brace titanium dari ARC.
Malangnya, kereta ini dirampas oleh Pihak Berkuasa Sempadan Amerika Syarikat setelah tamat penggambaran filem tersebut kerana dakwaan salah laku berkaitan bagaimana ia dibawa ke negara berkenaan. Ia kemudiannya dilepaskan dari rampasan tersebut pada tahun 2012, dan kemudian dieksport ke Jerman.
Kereta tersebut tidak banyak berjalan ketika di Jerman, dan ia lebih banyak dipamerkan di Munich Motorworld. Ia kemudiannya dilelong oleh Bonhams, dan sesi lelongan tersebut telah tamatkan pada 5 Mei lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.