Satu jenama motosikal elektrik baru tiba di Malaysia, iaitu SarkCyber, dengan mereka hadir ke pameran Malaysia Autoshow 2023, membawa dua model iaitu HC10 dan HC200. Jenama ini berasal dari China dan diedarkan di Malaysia oleh Superlux Auto.
Setakat ini, harga untuk HC10 dan HC200 masih belum ditetapkan, tetapi menurut seorang wakil syarikat yang berada di kawasan pameran, ia akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi dan boleh digunakan secara sah di atas jalan raya awam.
HC10 datang dengan pek bateri yang lebih besar, iaitu 60 volt dan 45 Ah. Motor elektrik 6.5 kW yang memacu motosikal ini terletak di tengah dan ia menggunakan tali sawat Gates untuk menghantar kuasa kepada roda belakang. Laju maksimum dihadkan kepada 90 km/j.
Daripada kosong, bateri HC10 dikatakan boleh mencapai tahap 80% dalam masa dua jam apabila dicas menggunakan soket domestik biasa. Berat skuter elektrik ini adalah 156 kg jika datang dengan tetapan dua bateri dan ia boleh bergerak 150 km dengan sekali cas penuh.
Pergi pula kepada HC200, skuter urban ini cuma mempunyai laju maksimum 75 km/j dan dipacu oleh motor elektrik 4.0 kW. Setelah dicas selama 3.5 jam, ia dikatakan boleh memberi jarak gerak 50 km, sementara berat keseluruhannya adalah 99 kg.
GALERI: SarkCyber HC10
GALERI: SarkCyber HC200
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.