Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan LRT, Monorel dan operator kepada perkhidmatan MRT di Lembah Klang telah mengumumkan perkhidmatan operasi tren di enam stesen LRT yang melibatkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur akan dibuka semula kepada pengguna bermula 6 pagi esok, 12 Mei 2023.
Ini adalah susulan kerja pembaikan sementara (fasa pertama) struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya telah selesai, ujar Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambahnya, serentak dengan pembukaan stesen-stesen tersebut, perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 yang digunakan sepanjang penutupan stesen akan ditamatkan.
“Tren-tren yang perlu menjalani proses penyelenggaraan telah dibawa ke depoh LRT di Ampang dan tren-tren gantian akan digunakan bagi tujuan perkhidmatan operasi ini. Di mana tren-tren yang beroperasi tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.
“Faktor kegagalan ini adalah disebabkan oleh tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh bagi menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari 2023,” kata Rapid Rail lagi.
Tambahnya, kerja-kerja pembaikan menyeluruh (fasa kedua) struktur landasan dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan Oktober 2023 dan seterusnya operasi perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling akan kembali beroperasi secara normal.
Walau bagaimana pun, menurut Rapid Rail, jangkaan tersebut bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa yang terlibat.
“Bagi melancarkan perjalanan penumpang, Rapid Rail akan mengaktifkan semula perkhidmatan bas perantara percuma (Bas LRT 10) yang akan menghubungkan Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara kedua-dua stesen berkenaan. Perkhidmatan bas perantara ini akan beroperasi menggunakan 10 buah bas dengan kekerapan setiap 10 minit.
“Para penumpang juga mempunyai pilihan untuk menggunakan laluan rel alternatif yang mana penumpang yang ingin menuju ke Hang Tuah, boleh menaiki Laluan Monorel KL melalui Stesen Titiwangsa. Manakala penumpang yang ingin menuju ke Chan Sow Lin, boleh menaiki MRT Laluan Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa,” kata Rapid Rail.
Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan info terkini. Anggota operasi rel dan Polis Bantuan Prasarana akan ditempatkan di stesen–stesen terlibat bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang.
Pada 2 April lalu, operasi enam stesen terbabit dihentikan kerana tren yang digunakan untuk perkhidmatan antara Stesen Bandaraya ke Stesen Sentul Timur tidak lagi dapat memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.
Ia susulan kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke Depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.