Ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2023 awal bulan ini, selain kenderaan dan model baru yang diperkenalkan, ada juga beberapa sisi lain yang turut dipamerkan, misalnya berkaitan teknologi autonomous untuk kepintaran buatan bagi sebuah Perodua Bezza. Ia dibangun dan dikendalikan oleh Reka, sebuah syarikat berkaitan automasi tempatan yang memberi tumpuan kepada kepintaran buatan, perisian dan pembelajaran mesin untuk pemanduan autonomous.
Menurut Reka, projek kenderaan autonomous berpandukan kepintaran buatan di Reka bermula sejak 2016, dan sejak itu berkembang dengan kemajuan teknologi dan dalam tanggapan industri terhadap teknologi autonomous untuk tujuan industri.
Dalam latihan ini, mereka menguji pemanduan tanpa pemandu menggunakan Perodua Bezza — seperti yang ditunjukkan dalam gambar — serta memberi tumpuan terhadap pembelajaran mesin dan perisian, jelas COO Reka Mohd Amri Mohd Din. Ini dapat dilihat daripada modifikasi yang dilakukan untuk pemanduan autonomous adalah melalui pertambahan perkakas dan aktuator yang dipasang kepada stereng, pendikit dan brek sebuah kereta produksi yang sebenar.
Set sensornya terdiri daripada kamera, lidar dan radar yang memberikan data kepada kepintaran buatan yang ada dalam sistem autonomous yang sedang diuji itu untuk mengenal pasti dan memahami halangan, seterusnya membantu kereta untuk membuat keputusan untuk dikendalikan dan bagaimana ia merespon kepada keadaan berbeza dengan mengawal pendikit, stereng dan brek.
Selain ujian demonstrasi dengan kelajuan berjalan kaki yang dilakukan di MAEPS ketika Malaysia Autoshow 2023 itu, kenderaan ujian autonomous ini hanya diuji khusus dalam laluan ujian kenderaan autonomous di Cyberjaya. Makmal Reka juga ada di situ untuk memudahkan urusan logistik untuk ujian tersebut dan pasukan yang mengendalikannya. Selain potensi untuk kenderaan autonomous ini digunakan di jalan awam, Reka juga berharap untuk mengetengahkan potensi teknologi ini untuk tujuan industri.
“Kami telah menjalankan sebuah projek di Singapura yang mensasarkan peningkatan kecekapan dan mengurangkan kemalangan yang disebabkan oleh manusia. Dengan memprogramkan kenderaan autonomous agar mengutamakan keselamatan, kami mampu membangunkan penyelesaian yang cekap dan boleh dipercayai untuk kegunaan industri,” jelasnya.
Selain untuk kegunaan automotif, pembangunan lain oleh Reka dalam lapangan ini juga telah membawa kepada penciptaan PLExyz, sebuah navigasi ruang tertutup untuk crowd analytics.
Teknologi tersebut memanfaatkan AI dan algoritma pembelajaran mesin untuk menganalisa dan meramalkan pergerakan khalayak, yang menurut Reka sangat berguna untuk tujuan mengawal khalayak dalam pelbagai situasi. Potensi teknologi ini sangat luas, dan boleh memperbaiki keselamatan dan kecekapan dalam kegunaan industri atau awam.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.