Hayden Haikal menang perlumbaan kali ketiga Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand

Hayden Haikal menang perlumbaan kali ketiga Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand

Pelumba touring car muda negara Hayden Haikal terus menggungguli siri Kejohanan Idemitsu Super Turbo 2023 di Thailand dengan memenangi Race 2 dan tempat keenam dalam Race 1 pada pusingan kedua perlumbaan tersebut yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram pada 19 hingga 21 Mei lalu.

Hayden yang baru berumur 18-tahun memandu Toyota Vios bernombor #437 pasukan Wing Hin Motorsport jelas mendominasi kategori Junior siri berkenaan- kelas dengan enjin NA berkapasiti sehingga 1,550 cc – dengan memenangi tiga dari empat perlumbaan musim 2023 yang sudah berlangsung setakat ini. Malah Hayden turut menjadi antara pencabar kepada jentera-jentera turbo yang lebih berkuasa dalam kategori lebih tinggi.

Namun untuk mencapai keputusan cemerlang ini bukan satu tugas mudah buat Hayden. Vios yang dipandunya mengalami kemalangan pada sesi latihan bebas pada hari Jumaat. Tetapi dengan usaha pasukannya yang berjaya memperbaiki kereta berkenaan hanya dalam masa tiga jam, Hayden berjaya mencatatkan masa ketiga terpantas pada sesi kelayakan pada hari yang sama.

Hayden Haikal menang perlumbaan kali ketiga Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand

Cabaran getir terus dihadapi oleh Hayden di mana dia berhadapan dengan masalah transmisi apabila perlumbaan sudah masuk ke babak pertengahan, dan ketika itu dia sedang mempertahankan kedudukan pendahulu perlumbaan dalam kategori Junior dan ke-12 secara keseluruhan.

Dengan hanya gear lima yang berfungsi, Hayden masih dapat menamatkan perlumbaan 12 lap di litar sepanjang 4.554 km itu di tempat ke-6 dalam kategorinya serta ke-21 secara keseluruhan!

“Saya dapat bersaing dengan baik dengan pendahulu kelas dan saya berjaya menjarakkan diri darinya sehinggalah tiba-tiba kereta yang saya pandu tidak boleh diturunkan gear dari gear 5. Syukur kami dapat menyelesaikan masalah tersebut untuk perlumbaan kedua pada hari Ahad,” kata Hayden.

Segalanya dicurahkan pada Race 2 hari berikutnya di mana Hayden berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam kelasnya dan ke-8 secara keseluruhan. Nasib menyebelahi Hayden kali ini apabila pemenang perlumbaan kemudiannya dikenakan penalti kerana melanggar peraturan, membolehkan Hayden diisytihar sebagai juara Race 2 dalam kategorinya.

Siri Idemitsu Super Turbo Championship untuk musim 2023 sudahpun bermula pada Mac lalu, dan musim ini merupakan penyertaan pertama buat Hayden dalam kejohanan tersebut. Dengan menang tiga dari empat perlumbaan, Hayden kini mendahului carta pungutan mata juara keseluruhan dalam kelas Junior.

Pusingan ketiga dan juga yang terakhir untuk Idemitsu Super Turbo Championship 2023 ini akan berlangsung pada 16 hingga 18 Jun nanti, juga di Litar Antarabangsa Chang.

“Kami akan bersatu semula, dan dengan pengalaman serta pelajaran yang ditimba minggu ini, fokus kami kini adalah mensasarkan kemenangan keseleuruhan kejuaraan,” kata Hayden.

Di Malaysia, Hayden merupakan bintang muda yang menyerlah dalam siri perlumbaan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing Festival, dan pernah menjadi juara kategori Sporting dan Super Sporting, menewaskan pelumba-pelumba yang jauh lebih berpengalaman.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required