Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk bulan April 2023, menyaksikan sejumlah 46,583 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli. Ini melibatkan penyusutan sebanyak 41% berbanding bulan Mac 2023 dengan mencatatkan jualan sebanyak 78,849 unit.
Tidak menghairankan apabila Mac 2023 mencatatkan jumlah tertinggi memandangkan semua syarikat kereta berusaha untuk memenuhi tempahan yang dibuat dalam tempoh pengecualian cukai jualan. MAA turut berkata jumlah jualan bulan lalu turut terdorong dengan cuti Hari Raya serta hari bekerja yang lebih pendek.
Berbanding bulan yang sama pada tahun lalu, April 2023 mencatatkan jumlah yang lebih rendah sebanyak 19%, manakala April 2022 pula dengan jualan sebanyak 57,606 unit. Walau bagaimana pun, jualan keseluruhan industri setakat ini bagi tahun 2023 adalah sebanyak 239,183 unit berbanding 217,452 unit pada 2022. Untuk bulan Mei 2023, MAA menjangkakan jumlah jualan lebih tinggi berbanding April 2023 disebabkan isu rantaian bekalan yang semakin berkurangan dan tempoh hari bekerja yang lebih panjang.
Untuk produksi pula, April 2023 menyaksikan sejumlah 41,160 unit kenderaan dipasang, lebih rendah berbanding 76,069 unit yang direkodkan pada Mac 2023. Malahan jumlah produksi pada bulan lalu juga kurang berbanding tempoh yang sama pada April 2022 yang menghasilkan sebanyak 54,734 unit. Bagi jumlah keseluruhan produksi setakat ini, sehingga akhir April 2023, ia merekodkan sejumlah 239,554 unit, lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu sebanyak 208,894 unit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.