Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan pihaknya telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi melaksanakan laluan kontra yang membabitkan tiga lokasi sebagai langkah segera mengatasi masalah kesesakan jalan raya di ibu negara.
Bakal dilaksanakan mulai 3 Julai ini, laluan kontra itu melibatkan laluan Tol Plus Sungai Besi ke Persimpangan Besraya iaitu dari arah selatan ke Kuala Lumpur, Jalan Maharajalela ke Taman Connaught dan Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak, laporan Bernama.
Laluan kontra di Tol Plus Sungai Besi ke Persimpangan Besraya adalah sepanjang 2.4 km manakala pemanjangan laluan kontra dari Jalan Maharajalela ke Taman Connaught melibatkan jarak sepanjang 4 km.
“Pembukaan laluan kontra di kedua-dua laluan itu dibuka kepada semua jenis kenderaan persendirian kecuali motosikal,” katanya.
Manakala laluan kontra Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak melibatkan jarak 3 km khusus untuk kenderaan pengangkutan awam iaitu bas sahaja. Di mana tiada kenderaan persendirian dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksana jika ada kenderaan lain melaluinya.
Jelas beliau, pembukaan ketiga-tiga laluan kontra itu bermula 6 pagi hingga 9 pagi bagi waktu pagi manakala pukul 5 hingga 7 petang bagi sesi petang.
“Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menyediakan satu garis panduan untuk memastikan laluan kontra itu dilaksana dengan baik dan selamat. Tiada tempoh tertentu untuk laluan ini (ditutup) kerana kita akan lihat keberkesanannya, ada (laluan kontra) di Jalan Cheras masih dibuka sejak 20 tahun lepas dan sukar ditutup,” katanya.
Beliau berkata perbincangan termasuk dengan ahli akademik sedang dilaksana bagi mencari punca utama kesesakan jalan raya selain menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Tambahnya, kajian DBKL mendapati terdapat enam juta kenderaan bergerak di ibu negara setiap hari.
“Penggunaan pengangkutan awam ketika ini hanya satu juta atau 15% sehari berbanding enam juta atau 85% bagi kenderaan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.