Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) telah melantik cabang pemasaran automotif DRB-HICOM, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sebagai pengedar rasmi smart Malaysia. Menurut PRO-NET, pelantikan EON adalah sebagai sebahagian daripada keluarga smart Malaysia bagi menambah jumlah pengedar elit yang dilantik. Sebelum ini, PRO-NET mementerai perjanjian dengan Hap Seng Smart manakala lima lagi pengedar baharu bakal diumumkan kelak.
Tambahnya, kerjasama tersebut juga mampu meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama kenderaan elektrik (EV) di kalangan pembeli kereta di Malaysia ke arah memperkenalkan SUV smart #1 pada suku ke-empat tahun 2023.
Sebagai salah satu pengedar pelbagai jenama terbesar negara yang mewakili jenama automotif terkenal termasuk Proton, Audi, Mitsubishi dan Volkswagen, pelantikan EON mencerminkan komitmen PRO-NET untuk menembusi pasaran EV yang semakin rancak di Malaysia, kata PRO-NET.
Dalam masa yang sama, perkongsian ini mempamerkan satu lagi pencapaian bersejarah bagi Proton dan kumpulan anak syarikatnya sejak hampir empat dekad lalu, di mana syarikat itu dan EON mempelopori evolusi industri automotif Malaysia apabila EON dilantik sebagai pengedar kereta Proton eksklusif dan yang pertama.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan jenama yang kukuh dan dipercayai di dalam industri automotif. PRO-NET yakin dengan pengetahuan dan pegalaman luas EON ditambah dengan capaian pelanggan DRB-HICOM yang sangat luas akan mewujudkan sinergi ideal yang mampu mendorong wawasan smart Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan yang mempunyai prestasi cemerlang di dalam industri ini untuk memperkenalkan pelbagai produk, perkhidmatan dan pengalaman jenama premium,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
“EON komited untuk menyumbang ke arah kejayaan perkongsian baharu ini. Kami diterajui oleh pasukan dinamik yang mempunyai pengalaman yang luas. Ia memberi kelebihan kepada kami untuk mewujudkan sinergi dengan smart Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk smart #1 dalam usaha menghasilkan impak ketara kepada pasaran tempatan,’ kata Akkbar Danial, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM.
PRO-NET turut percaya kecemerlangan automotif bukan hanya sekadar mencipta kenderaan terbaik
malah turut menyediakan kemudahan yang mewah dan pegalaman yang unik kepada pelanggan. Pelantikan pengedar baharunya adalah sebahagian daripada strategi smart Malaysia untuk menjadikan jenama auto terbaru-premium, pintar dan elektrik sepenuhnya menjadi teman pemanduan dalam bandar yang ideal kepada para pembeli EV di Malaysia.
Sebahagian daripada strategi ini ialah memperkenalkan aplikasi pintar yang membolehkan pelanggan memulakan perjalanan digital dan menikmati perkhidmatan dalam talian – daripada mendapatkan maklumat produk sehinggalah kepada membuat pesanan dan pembayaran dengan mudah dan selesa.
Selain itu, ia juga menyediakan akses mudah kepada peta pengecasan EV dan kemudahan pengecasan DC, yang membolehkan pemilik kereta smart sentiasa memastikan kereta eletrik mereka boleh dicas sepanjang perjalanan bagi menikmati rutin pemanduan harian yang lebih baik.
Pengedar smart juga dilengkapi dengan sokongan perkhidmatan dan jualan sepenuhnya untuk memberi pelanggan ketenangan fikiran selain menawarkan pengalaman premium dan perkhidmatan tambahan lain termasuk perkhidmatan baik-pulih dan pengecasan pantas serta pusat pengedaran.
“Pasukan kami telah mencapai kemajuan yang menakjubkan sejak kami mula beroperasi pada tahun lalu, dan dengan kehadiran model terbaharu smart #1 yang mengujakan, kami yakin bahawa kami mampu memberikan sumbangan besar kepada masa depan mobiliti elektrik untuk pasaran Malaysia.
“Pelantikan pengedar yang bereputasi tinggi adalah salah satu strategi utama kami. PRO-NET akan mengumumkan beberapa lagi pelantikan pengedar baharu smart kelak” tambah Zhang Qiang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.