Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggesa agar pemilik kenderaan mengemaskini alamat masing-masing bagi memudahkan pihak berkuasa menghubungi mereka, terutamanya bagi memaklumkan kepada pemilik sekiranya kenderaan mereka disita oleh jabatan terbabit.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, dengan mempunyai alamat yang betul akan membolehkan jabatan mengenal pasti pemilik kenderaan dan menjalankan tindakan sewajarnya bagi kenderaan yang disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan.
Ini termasuk pelepasan semula kenderaan kepada pemilik apabila kes itu telah diselesaikan, laporan The Star. “Cabaran timbul apabila pemilik gagal menuntut kenderaan mereka atau tidak menerima notis yang diperlukan kerana perubahan alamat,” katanya.
Bagi menyelesaikan isu ini, Mohd Zaki menekankan kepentingan pemilik kenderaan mengemaskini alamat terbaharu mereka. Beliau berkata kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kenderaan yang disita dilelong apabila pemilik gagal menuntutnya.
Mohd Zaki berkata demikian semalam dalam acara lelongan awam JPJ Kuala Lumpur, di mana sebanyak 96 kenderaan telah dilelong dengan nilai keseluruhan mencecah RM214,690.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.