PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memberikan lebih fokus dan peningkatan kolaborasi bagi mengurangkan jumlah kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal di lebuh raya kendalian PLUS.
“Berdasarkan rekod, laluan Kuala Kangsar-Ipoh Utara, Nilai-Bandar Ainsdale dan Seremban-Port Dickson dikenalpasti sebagai laluan-laluan panas yang mencatatkan kadar kemalangan motosikal yang tinggi terutamanya pada hujung minggu bermula Jumaat sehingga Ahad,” kata Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan.
Menurutnya, pihak JPJ bersedia untuk meningkatkan pemantauan lokasi-lokasi tumpuan ini serta lokasi-lokasi lain dalam mengurangkan jumlah kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal. Ia termasuklah aspek penguatkuasaan dan advokasi berterusan dari pihak JPJ dengan kerjasama PLUS.
Berdasarkan rekod, lebih daripada 60% kadar kematian akibat kemalangan di lebuh raya PLUS disumbangkan oleh penunggang motosikal.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat koordinasi bersama PLUS di Pejabat Unit Penguatkuasaan Lebuh Raya (UPLR) di Jelapang semalam. Turut hadir adalah Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.
Baru-baru ini, Berita Harian melaporkan, sebanyak 70% penunggang motosikal menunggang secara berisiko terutama pada waktu puncak. Menurut Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sembilan, Choo Ken Hwa, ia adalah berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
Statistik berkenaan banyak disumbangkan oleh penghantar makanan (p-hailing) atau ‘rider’ selain dikesan banyak melakukan kesalahan seperti menggunakan telefon bimbit ketika menunggang motosikal, melanggar lampu isyarat, melawan arus serta membuat pusingan haram kerana mahu mengejar ‘trip’ dan mahu mengelak dikenakan denda, sekali gus dilihat menjadi punca kemalangan jalan raya membabitkan golongan itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.