Memang sudah diketahui yang smart #1 akan dijual di Malaysia. Proton New Energy Technology (Pro-Net) telah pun mengesahkan hal ini pada Mac lalu dan berada dalam tempoh yang sepatutnya untuk melancarkan EV berkenaan pada suku ketiga tahun ini. Syarikat yang ditubuhkan oleh Proton itu bertanggungjawab untuk menguruskan jualan dan pengedaran kenderaan smart, dan telah melantik Hap Seng smart dan Edaran Otomobil Nasional (EON) sebagai pengedar rasmi.
smart #1 akan datang dalam dua versi, dengan yang biasa akan menggunakan motor elektrik di belakang dan menjana 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 343 Nm tork. Ini digandingkan dengan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) dengan kapasiti 66-kWh, dan memberikan jarak WLTP sejauh 440 km. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.7 saat dan laju maksimum 180 km/j.
Namun, seperti yang dilihat oleh pembaca paultan.org, Auguss Chan and Amirun Hakim, gambar yang dirakam mencadangkan pasaran sini juga akan menerima versi Brabus bagi EV tersebut.
Tampil pertama kali Ogos tahun lalu, smart #1 Brabus menerima tambahan motor elektrik kedua di depan, menjadikan tetapannya pacuan semua roda. Motor tambahan itu memberikan lonjakan output bagi keseluruhan sistem kepada 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan 543 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat sahaja. Laju maksimum kekal sama, tetapi jarak berkurang menjadi 400 km.
Perkara yang menunjukkan kereta dalam pelekat samaran ini versi Brabus termasuklah angkup brek merah dan sayap di belakangnya. Rim 19-inci serta bahagian diffuser di belakang juga membezakannya daripada versi biasa. Tidak ketinggalan, ada bukaan udara di depan bonet serta ruang dalaman dengan lencana Brabus serta tema kontras merah.
Jika betul #1 Brabus ini akan turut diperkenalkan di sini, anda rasa penawaran EV daripada jenama ini akan lebih menarik?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.