Dalam pengumuman pelantikan lima lagi syarikat sebagai pengedar sah EV smart di Malaysia, Proton New Energy Technology (Pro-Net) turut menunjukkan secara tidak langsung varian smart #1 Brabus yang sepertinya sah akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan.
Dalam satu gambar yang disertakan bersama hebahan media, dapat dilihat dua unit smart #1 yang tidak berpelekat samaran di belakang barisan pegawai. Yang di kiri ialah versi standard smart #1 dengan pacuan roda belakang dan menampilkan motor elektrik dengan janaan 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 343 Nm tork.
Sementara kereta yang di sebelah kanan pula, dengan corong udara berdekatan bonet ialah varian Brabus yang menerima tambahan sebuah lagi motor elektrik di gandar depan untuk menjadikannya pacuan semua roda. Dengan dua motor elektrik ini, sistemnya menghasilkan sebanyak 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan 543 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat (6.7 saat untuk versi biasa) dan laju maksimum 180 km/j.
Ada juga kereta ketiga dengan pelekat samaran boleh dilihat, berkemungkinan sebuah lagi unit #1 Brabus yang dilihat sedang di uji di sini, yang memberi petunjuk bahawa varian prestasi ini juga akan ditawarkan untuk pasaran tempatan. #1 menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang memberikan jarak WLTP 440 km bagi varian standard dan 400 km untuk varian Brabus.
Selain corong bukaan tersebut, versi Brabus juga boleh dibezakan melalui angkup brek merah, serta kemasan jalur merah dan sayap di belakang. Ia juga datang dengan apron depan dan belakang yang lebih sporty, dengan bahagian dalaman juga khas untuk Brabus.
Sebelum ini, smart #1 diumumkan bakal dirasmikan di sini dalam suku ketiga tahun ini kelak. Dengan pertambahan lima lagi pengedar, dan pendedahan varian melalui gambar yang dimaksudkan, kita sudah tidak terlalu lama dari tarikh pengenalannya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.