Dalam usaha memperkukuh rangkaian jualan menjelang pengenalan rasmi model kenderaan EV smart di Malaysia, Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) kini telah melantik lima pengedar baru di Semenanjung. Mereka terdiri daripada Smart Mobility Sdn. Bhd. (Smart Mobility), GB Auto Sdn. Bhd. (GB Auto), Eleganz Lifestyle Sdn. Bhd. (Eleganz Lifestyle), Lee Motors (Alor Star) Sdn. Bhd. (Lee Motors), dan Sigma Energy EV Sdn. Bhd. (Sigma Energy EV). Semua pengedar ini adalah rangkaian yang akan membantu meningkatkan kesedaran jenama smart di Malaysia.
Terletak di penempatan mewah Bangsar, Kuala Lumpur, Smart Mobility akan menyasarkan kepelbagaian spektrum pelanggan di sekitar lokasi tersebut, daripada eskpatriat kepada individu korporat berprofil tinggi. Sementara itu, kedudukan strategik GB Auto di sepanjang jalur automotif Ipoh, Perak bersama beberapa jenama berprestij yang lain, memudahkan lagi akses dan memberi keselesaan kepada para pelanggan.
Tiga rakan kongsi tambahan yang lain termasuk Eleganz Lifestyle, pengedar kereta 4S terkenal, Lee Motors dan Sigma Energy EV masing-masing menjalankan perniagaan di premis milik sendiri yang terkemuka dan terletak dalam zon automotif akan memberikan pengalaman baharu kepada pelanggan jenama smart di Pulau Pinang, Kedah dan Melaka.
Setakat ini, sebanyak tujuh pengedar telah dilantik bulan ini termasuk Hap Seng Smart dan Edaran Otomobil Nasional (EON) dalam usaha mendapatkan pelanggan yang berpotensi sebelum pelancaran smart #1 pada suku ke-empat tahun ini.
“Smart mewakili penyelesaian mobiliti EV premium yang menggabungkan teknologi terkini dan reka bentuk futuristik. Oleh itu, sangat penting bagi setiap pengedar yang kami pilih untuk memenuhi janji dan jangkaan kami dengan memberikan bukan sahaja perkhidmatan terbaik, tetapi juga pengalaman unik kepada setiap pemilik kenderaan smart,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang,
Lebih ramai rakan kongsi sedang dipertimbangkan untuk berkolaborasi dengan PRO-NET, termasuk syarikat yang berpengkalan di Malaysia Timur di mana PRO-NET merancang untuk memperkenalkan jenama smart pada tahun hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.