Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan program Max Certified, iaitu program kereta terpakai rasmi yang “menawarkan pelanggan pengalaman yang lancar untuk membeli kereta terpakai Mitsubishi”.
Menerusi program ini, pelanggan bukan sahaja boleh membeli pelbagai pilihan kereta-kereta terpakai di semua pengedar sah Mitsubishi, malah ia turut menawarkan servis tukar-beli bagi memudahkan pelanggan menjual Mitsubishi lama mereka untuk memiliki model baharu Mitsubishi.
Menurut MMM, kesemua kereta terpakai yang dijual di bawah program Max Certified ini akan menjalani ujian komprehensif 150-poin yang dibuat oleh pakar terlatih secara profesional Mitsubishi. Pelanggan juga akan menikmati perlindungan waranti selama 12-bulan yang meliputi pembaikan dan penukaran komponen enjin, transmisi, stereng dan juga elektrikal yang mengalami kerosakan mekanikal.
Pelanggan yang membeli kereta-kereta yang ditawarkan oleh Max Certified ini juga akan menerima e-baucar bernilai RM500 yang boleh ditebus dipusat-pusat servis MMM yang bertauliah ketika membuat servis berkala.
MMM turut menyatakan bahawa semua kenderaan yang dijual oleh Max Certified ini berumur tujuh tahun dan ke bawah, serta meter perbatuan kurang dari 180,000 km ketika tukar-beli dibuat. Kereta-kereta tersebut juga menerima alat-alat ganti asli MMC, bebas dari kemalangan besar dan kerosakan banjir, dan mempunyai rekod servis penuh dari pusar servis rasmi MMM.
“Selain mengukuhkan jenama Mitsubishi dalam sektor kereta terpakai dan menaikkan nilai kenderaan terpakai Mitsubishi, Max Certified disasarkan untuk meningkat kesetiaan pelanggan dengan membeli model Mitsubishi yang lain. Melalui program Max Certified, kami mahu menyampaikan pendekatan yang lebih holistik,” kata CEO MMM, Shinya Ikeda.
“Sementara MMM terus berusaha ke arah memperkenalkan model baharu untuk rakyat Malaysia, kami juga berharap dapat menawarkan kepada mereka yang berminat untuk membeli kereta Mitsubishi terpakai menerusi platform yang lebih mudah diakses dan boleh dipercayai,” tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.