Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution telah melancarkan program MyLesen B2 peringkat kebangsaan di Sungai Petani, Kedah, semalam.
Program MyLesen B2 ini merupakan inisiatif kerajaan untuk menawarkan 9,000 rakyat Malaysia dari golongan B40 di seluruh negara untuk mendapatkan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 yang kosnya akan ditanggung oleh Kerajaan di bawah Belanjawan Madani 2023. Ia melibatkan kos peruntukan secara keseluruhan mencecah RM2.7 juta iaitu RM300 untuk setiap peserta bagi mengambil kelas dan ujian Lesen Kelas B2 ini.
“Memang fokus saya adalah pengangkutan awam, tetapi saya juga memahami bahawa kenderaan persendirian seperti motosikal agak penting untuk penduduk luar bandar pergi ke kerja, pasar atau sekolah.
Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk membuka peluang dalam menceburi gig economy dan menambah pendapatan. Semoga para penerima boleh memanfaatkan program ini dan juga menjadi pemandu yang selamat dan berhemah,” kata Loke.
Majlis di Sungai Petani ini menyaksikan kumpulan pertama seramai 306 peserta dari kumpulan B40, pelajar, OKU dan murid keperluan khas mengambil bahagian dalam program ini.
Loke turut berkata, kerajaan berniat untuk mengembangkan lagi program MyLesen ini termasuk untuk lesen kenderaan awam (PSV) dan lesen Kelas E untuk bas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.