SISMA Auto telah membuka Pusat 3S BYD yang terbesar di Glenmarie, Shah Alam, hab automotif utama di Lembah Klang. Pusat 3S BYD Glenmarie yang menelan belanja sebanyak RM5 juta ini merupakan kemudahan BYD Kelas A di Malaysia yang menampilkan bilik pameran yang mampu mempamerkan sembilan buah kereta. Ia juga menampilkan ruang rehat untuk pelanggan dengan kemudahan WiFi percuma dan sudut makanan, sudut cenderahati serta petak pengecasan kenderaan elektrik (EV).
Selain itu, ia turut menyediakan kemudahan servis dengan 16 petak pembaikan yang mampu menampung kapasiti lebih 1,000 pelanggan sebulan. Pusat servis yang termaju ini dilengkapi dengan peralatan diagnosis terkini, alat dan kelengkapan khas serta kawasan simpanan dengan suhu yang terkawal untuk menyimpan komponen bateri kuasa yang sensitif. Bilik Kenderaan Tenaga Baharu turut disediakan untuk membaiki semua komponen voltan tinggi.
Pusat 3S BYD SISMA Auto juga telah mendapat pengiktirafan daripada Pengasas dan Pengerusi BYD, Wang Chuanfu, semasa kunjungan beliau ke Malaysia pada 4 Mei 2023.
Pengarah Urusan Kumpulan SISMA Auto Syed Khalil Syed Ibrahim berkata dengan sejarah perkongsian perniagaan dengan jenama automotif selama 30 tahun, syarikat bersedia untuk menawarkan pengalaman 3S premium kepada para pemilik BYD di Malaysia.
“Kami berbesar hati dapat menjalin hubungan perniagaan dengan BYD dan pengedarnya di Malaysia, Sime Darby Motors. Kami percaya bahawa masa depan industri automotif ialah kenderaan elektrik dan sebagai pembuat Kenderaan Tenaga Baharu (New Energy Vehicle, NEV) nombor satu di dunia, BYD berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menjadi peneraju masa depan tenaga elektrik.
“Reka bentuk dan ciri Pusat 3S kami mencerminkan kedudukan premium serta kualiti produk jenama. Sambutan daripada pasaran Malaysia yang diterima oleh BYD Atto 3 sangat menggalakkan dan kami teruja untuk memperkenalkan lebih banyak model BYD pada bulan-bulan yang akan datang,” kata Syed Khalil.
Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd Eagle Zhao melahirkan keyakinan terhadap potensi pasaran untuk BYD di Malaysia dan berkata, “Permintaan untuk kenderaan tenaga baharu di Malaysia telah meningkat dengan ketara. Kami berhasrat untuk memperkenalkan teknologi terkini dan menawarkan lebih banyak pilihan untuk pengguna di Malaysia.”
“Kami amat berbangga dengan kerjasama teguh antara Sime Darby Motors dan SISMA Auto. Gandingan bersama ini bermakna kedua pihak dapat membawa pengalaman industri yang mendalam dan berkongsi visi untuk membantu memacu masa depan mobiliti rendah karbon Malaysia dengan produk EV yang tercanggih daripada BYD.
“Pusat 3S ini merupakan titik penting dalam perjalanan kami bersama dan pastinya akan membantu membina kepercayaan dan keyakinan terhadap jenama BYD dalam kalangan pemandu yang arif di Malaysia. Kami komited dalam menyediakan penyelesaian automotif bertaraf dunia dan amat teruja dengan kesan transformatif hasil daripada kerjasama ini ke atas pasaran Malaysia,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Motors untuk Peruncitan & Pengedaran Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan.
Bilik Pameran Pusat 3S BYD SISMA Auto dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang dari Isnin sampai Sabtu dan dari jam 10 pagi hingga 5 petang pada hari Ahad dan cuti awam. Pusat Servis pula beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin sampai Jumaat dan dari 8.30 pagi hingga 12.30 petang pada hari Sabtu.
Sempena dengan pembukaan pusat 3S ini, BYD SISMA Auto akan menganjurkan karnival istimewa untuk seisi keluarga mulai 2 hingga 11 Jun 2023. Karnival Electric Dreams BYD SISMA Auto akan diadakan setiap hari bermula 10 pagi hingga 5 petang. Para pelanggan dan pengunjung yang mendaftar untuk pandu uji layak menerima hadiah selamat datang, makanan ringan dan cabutan bertuah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.