Hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun memperkenalkan sedan elektrik Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ 2023 untuk pasaran tempatan. Pengenalan varian sedan elektrik penuh ini adalah selepas model standard EQE iaitu EQE 350+ dilancarkan di negara kita pada Disember lalu. Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ 2023 ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM649,888 tanpa insurans.
Varian tunggal EV bagi EQE ini didatangkan dengan sistem pacuan empat-roda dengan motor elektrik yang ditempatkan pada setiap gandar. Ia mampu memberikan keseluruhan sistem outpun mencecah 625 hp atau 460 kW dan tork 950 Nm. Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam 3.5 saat dan kelajuan maksimum mencecah 220 km/j.
Walau bagaimana pun, jika dirasakan kuasa tersebut belum cukup padu, dan inginkan prestasi yang lebih menguja, pengeluar kereta ini turut menawarkan pakej pilihan AMG Dynamic Plus yang mampu meningkatkan lonjakan kuasa hingga 687 PS (677 hp atau 505 kW) dan tork 1,000 Nm, dengan pecutan dari titik pegun ke 100 km/j kurang dua saat berbanding unit tanpa AMG Dynamic Plus dan kelajuan maksimum mampu dicapai mencecah 240 km/j.
EQE 53 4Matic+ dengan pakej AMG Dynamic Plus hanya boleh mendapatkan jumlah kuasa yang padu itu apabila sistem AMG Dynamic Select ditetapkan ke mod Race Start dengan mengaktifkan fungsi boost. Jika menggunakan Race Start tanpa fungsi boost dan mod Sport+, anda cuma mendapat kuasa sebanyak 460 kW sahaja. Mercedes-AMG juga berkata dengan mod Sport, Comfort dan Slippery, pemandu boleh mendapatkan jumlah keseluruhan kuasa masing-masing 90%, 85% dan 50%, dan ini diaplikasikan untuk kedua-dua varian.
Model EV EQE ini turut menampilkan bateri lithium-ion 328-voltan dengan kapasiti tenaga 90.6 kWh. Mengikut standard WLTP, EQE 53 4Matic+ ini mampu menawarkan jarak pacuan antara 458 km hingga 527 km. Malahan ia juga dikatakan mampu memberikan penjimatan pacuan elektrik antara 22.7–20.2 kWh bagi setiap 100 km.
Bateri boleh dicas menerusi pengecas onboard AC (sambungan Type 2) sama ada yang berkapasiti 11 kW atau 22 kW (dengan tambahan kos) yang mengambil masa pengecasan penuh selama 9 jam 15 minit. Selain itu, ia juga boleh menggunakan pengecas pantas DC (sambungan CCS) sehingga 170 kW, dengan tahap 180 km boleh dicas dalam tempoh 32 minit.
Jentera AMG EQE ini juga mempunyai kuasa pemulihan tenaga hingga 260 kW, yang boleh dilaras oleh pemandu dengan dua fasa sama ada menerusi suis pada roda stereng, one-pedal driving dan kombinasi brek hingga ke pegun bagi sesetengah mod pemanduan.
Sistem pemanduan lain yang turut diberikan termasuklah suspensi udara AMG Ride Control+ dengan peredam boleh laras adaptif, yang bukan sahaja menyalurkan dinamik pemanduan, bahkan boleh melaras ketinggian pengendalian untuk memaksimumkan kecekapan bergantung pada program pemanduan terpilih.
Ia juga dilengkapi dengan sistem AMG Sound Experience yang mampu menghasilkan bunyi yang mempersona berdasarkan pemilihan profil spesifik – Authentic, Balanced, Sport dan Powerful. Jika inginkan bunyi yang lebih padu, profil Performance hanya didatangkan dengan pakej AMG Dynamic Plus.
Untuk imej luarannya pula, ia juga menerima sentuhan gaya yang sangat menyerlah dan mempersona yang ditampilkan dengan gril panel hitam spesifik-AMG dengan palang menegak dalam rona krom, disepadukan dengan bintang Mercedes-Benz dan perkataan AMG. Ia juga dipadankan dengan roda aloi pelbagai-jejari AMG 21-inci dalam kemasan matt black dan brek kaliper merah.
Selain itu, ia diberikan lampu utama Digital Light secara standard dan menampilkan unit projektor AMG apabila pemandu membuka dan menutup kunci kenderaan. Rekaan A-wing pada bahagian hadapan mirip dengan model biasa EQE dan ia dihiasi kemasan hitam berkilat dan krom serta splitter. Panel ambang sisi AMG dalam rona hitam berkilat juga diberikan, sementara bahagian belakangnya dilengkapi diffuser yang dioptimumkan secara aerodinamik serta spoiler belakang yang menyerlah.
Di dalamnya, ia diberikan tempat duduk AMG dengan kombinasi kulit Artico dan upholstery gentian mikro Microcut, bersama jahitan merah, manakala kulit Nappa sebagai pilihan. Lencana AMG juga ditampilkan pada roda stereng, pedal dan alas lantai AMG Performance.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.