Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini menjadi satu lagi universiti tempatan yang melancarkan nombor pendaftaran (plat) khas kenderaan untuk dijual kepada orang ramai secara bidaan. Walaupun dikenali dengan nama singkatan USIM, plat yang dikeluarkan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Pengangkutan Jalan ini adalah bermula dengan huruf UN.
Kelulusan penggunaan nombor plat UN ini telah diberikan kepada USIM pada Mac 2023 dan kini dilancar pada bulan Jun sambil menyambut ulang tahun pusat pembelajaran tersebut yang ke-23. Ia sekaligus memberi kenangan manis bagi USIM dan warganya.
Satu perjanjian persefahaman juga telah ditandatangani antara USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd (anak syarikat USIM) dengan Syarikat Aquatwo, yang akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses pemasaran, penjualan/bidaan, pengurusan kewangan, lantikan enjin pemasaran, promosi serta sistem jualan nombor plat UN ini.
Mereka yang berminat untuk memiliki plat UN ini boleh membuat bidaan melalui laman www.unplat.com.my bermula esok sehingga 25 Jun 2023. Menurut ketua pegawai eksekutif USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd, Ahmad Shukri Zulkifli, harga permulaan untuk nombor plat UN ini dibahagikan kepada beberapa kategori, dengan bermula daripada RM1,500 sehingga RM800,000 (UN1).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.