Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan pihaknya telah seorang bapa berusia 49 tahun di rumahnya di Pandamaran, Klang, tengahari semalam gara-gara membenarkan anak lelaki berusia 11 tahun memandu kereta.
Menurut beliau, bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan telah menerima satu klip video yang ditularkan di laman media sosial berdurasi 1.21 minit berkenaan seorang kanak-kanak lelaki memandu Proton Saga bernombor pendaftaran NCJ 3233. Kejadian berlaku pada Jumaat lalu (9 Jun 2023) jam 6 petang di Jalan Banting-Pandamaran (Jalan Kampung Pendamar, Klang).
“Bertindak di atas maklumat tersebut, kami telah membuat serbuan di sebuah rumah di Pandamaran, Klang dan menahan lelaki terbabit bersama anaknya serta kereta berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 111 APJ 1987 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika disabit kesalahan, si bapa boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya serta hilang kelayakan daripada memandu atau mendapatkan mana-mana lesen memandu.
“Siasatan juga dijalankan di bawah Sekesyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa maksud pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi. Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya serta hilang kelayakan daripada memandu atau mendapatkan mana-mana lesen memandu,” kata Cha Hoong Fong menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak leka dan sentiasa memgawasi gerak geri anak supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya terhadap dirinya sendiri atau orang lain.
Nampak gayanya masih ada lagi golongan ibu bapa yang tidak mengambil pengajaran di sebalik tindakan sebegini. Pada awal Mei lalu, sebuah Toyota Vios terbabas dan didapati ia dipandu oleh sepasang adik beradik lelaki yang masing-masing baru berumur tiga dan enam tahun. Kejadian berlaku di Langkawi dan ibu bapa kanak-kanak terbabit dipanggil polis untuk siasatan lanjut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.