Dalam masa hanya beberapa hari lagi, Fasa 2 bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan dibuka kepada orang awam. Kami sendiri telah mencuba laluan ini dalam satu pra tonton awal untuk media, dan ia menyambungkan Sri Petaling dan Bukit Jalil (laluan masuk di Lebuhraya Kesas) kepada persimpangan Cheras-Kajang, berhampiran Plaza Phoenix. Dengan pembukaan laluan ini, SUKE kini 99% lengkap, dengan hanya satu lagi persimpangan akan dibuka.
Fasa 1 SUKE dibuka kepada orang awam pada 16 September 2022 lalu dan ia bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang dengan laluan utama sepanjang 16.6 km, 11 persimpangan dan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang.
Fasa 2 pula melibatkan laluan sejauh 7.8 km, bermula dari Sri Petaling (dipanggil sebagai persimpangan Sri Petaling), dan selain Kesas, ia juga bersambung dengan Lebuhraya KL-Seremban. Persimpangan seterusnya juga tidak jauh, iaitu persimpangan Sungai Besi, bersebelahan dengan stesen MRT laluan Putrajaya dan dihubungkan kepada Lebuhraya Besraya.
Dari situ, SUKE mengikut laluan MRR2, tetapi berada di atas, sehinggalah Bandar Tasik Selatan dan melepasi Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sebelah kiri. Kemudiannya, SUKE membelok ke arah Alam Damai. Di sini, reka bentuk bertingkat bermula dengan trafik menghala ke Cheras-Kajang (KL) berada di atas dan laluan ke arah Sri Petaling berada di bawah.
Dalam laluan Fasa 2 ini, satu lagi plaza tol, iaitu di Alam Damai akan dibuka, menjadikan keseluruhannya ada tiga tol di dalam SUKE. Setiap tingkat di laluan Alam Damai ini akan mempunyai plaza tol sendiri. Apabila Fasa 2 ini sudah dibuka, laluan utama lebuhraya SUKE akan lengkap dengan yang tinggal hanyalah persimpangan Alam Damai – akan dibuka sekitar bulan Ogos 2023.
Bersebelahan plaza tol Alam Damai ini juga terdapat pusat kawalan utama SUKE, yang terletak dalam sebuah bangunan tinggi (jika dibandingkan dengan pusat kawalan lebuh raya lain) dan akan mempunyai kedai makan (juga akan dibuka kepada orang awam) di dalamnya.
Secara keseluruhannya, lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 km (57.7 km jika dikira sekali dengan laluan susur keluar) mempunyai 14 persimpangan keluar, iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Hillview dan Bukit Antarabangsa.
Laluan alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR) ini turut dihubungkan kepada Kesas (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE). Lebuhraya baru East Klang Valley Expressway (EKVE) juga akan bersambung dengan SUKE.
Untuk bayaran tol di Alam Damai, CEO Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah memberitahu, beliau masih belum boleh mengumumkan harganya, dan ia akan dibuat oleh menteri kerja raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semasa majlis pelancaran Fasa 2 ini nanti. Apa yang diberitahu, ia tidak akan melebihi RM2.30 seperti di plaza tol Bukit Teratai dan Ampang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.