Selepas beberapa teaser disiar, akhirkan Mitsubishi Colt 2024 sudahpun didedahkan secara rasmi. Walau bagaimanapun seperti yang diketahui sebelum ini, Colt baharu ini adalah model khas untuk pasaran Eropah dan sebenarnya adalah model rebadge dari Renault Clio serta diproduksi dikilang yang sama iaitu kilang Renault di Bursa, Turki.
Jadi, Colt 2024 ini turut menggunakan platform CMF-B Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, dan dibina sebagai sebuah hatchback lima-pintu. Pada bahagian hadapan boleh dilihat Colt masih menggunakan bonet dan juga fender yang sama seperti Clio, namun diberikan muka yang menyerlahkan rekaan signatur Dynamic Shield Mitsubishi.
Kluster lampu hadapan nampak seperti seiras, tetapi grafik pada bahagian dalam lampu Colt nampak lebih tersendiri menampilkan dua jalur LED pada bahagian ‘kening’. Jalur berkenaan dilihat seperti bersambung dengan kemasan krom pada gril hadapan, serta logo Mitsubishi bersaiz besar juga dalam kemasan krom diletak di tengah.
‘Ekor’ berbentuk ‘J’ pada lampu Clio juga diubah pada rekaan Colt ini di mana ia kini membentuk kemasan hitam pada bampar, yang menjadi perumah kepada lampu nyalaan siang LED tambahan. Bahagian sisi Colt 2024 ini juga masih seiras dengan Clio, menampilkan pembuka pintu belakang yang disorokkan pada bahagian tiang-C membuatkan ia kelihatan seperti hatchback tiga-pintu.
Manakala di belakang, Colt dan Clio berkongsi lampu yang sama. Namun untuk Colt, rekaan bampar yang diberikan adalah lebih agresif di mana ia menampilkan kemasan liang udara palsu pada kedua-dua sisi.
Untuk kabin, Colt nampaknya hampir menggunakan keseluruhan rekaan yang sama seperti Clio, cuma loga Renault pada roda stereng diubah kepada logo Mitsubishi. Ia menampilkan pilihan skrin sama ada 7- atau 9.3-inci untuk sistem Smartphone-link Display Audio (SDA) yang diletakkan secara potret pada bahagian atas tengah papan pemuka, yang dihubungkan kepada sistem bunyi premium dari Bose.
Selain sebagai sistem hiburan, skrin berkenaan juga perlu digunakan untuk akses kepada sistem Multi-Sense, yang membolehkan pemandu memilih mod pemanduan (My Sense, Sport atau Eco), respon enjin dan stereng dan juga lampu suasana dalam kabin.
Mitsubishi menawarkan pilihan unit rangkaian kuasa hibrid penuh (HEV) dan juga petrol sepenuhnya untuk Colt baharu ini. Bagi model HEV, ia menerima enjin petrol NA 1.6 liter bersama dua buah motor elektrik (satu merupakan unit starter-generator manakala satu lagi motor elektrik utama) yang digandingkan dengan dengan kotak gear automatik multi-mode.
Motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri hibrid 1.2 kWj, dan ia menghasilkan kuasa keseluruhan 142 PS dan tork maksima 205 Nm. Ini membolehkan model Colt Hybrid ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.3 saat dan mencapai kelajuan maksima 180 km/j.
Bagi model petrol penuh pula, Colt ditawarkan dalam dua jenis enjin. Model paling berkuasa adalah versi 1.0L turbo yang menjana 91 PS dan tork maksima 160 Nm. Ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 12.2 saat serta mencapai kelajuan maksima 180 km/j.
Model paling asas pula hanya menerima enjin tiga-silinder 1.0 liter NA yang menghasilkan hanya 67 PS dan tork 95 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 17.1 saat, dan kelajuan maksima yang boleh dicapai hanya 160 km/j.
Untuk keselamatan pula, Colt 2024 turut ditawarkan dengan sistem bantuan pemanduan. Ia meliputi sistem termasuk cruise control adaptif dengan Stop & Go, bantuan kekal lorong dengan amaran, pengelak pelanggaran hadapan, pengenal tanda trafik, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, lampu tinggi automatik dan bantuan parkir.
Mitsubishi Colt 2024 ini dijangka akan dijual di pasaran Eropah bermula bulan Oktober ini, menyaksikan nama ‘Colt’ kembali ke pasaran benua berkenaan selepas dihentikan selama sembilan tahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.