Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan bahawa kes penipuan jual beli kenderaan secara dalam talian dilihat meningkat tahun ini, lapor Kosmo.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, modus operandi yang dijalankan sindiket adalah menawarkan kenderaan import terpakai kononnya dari negara jiran pada harga lebih murah berbanding pasaran di media sosial.
Beliau menyatakan bahawa tahun lalu, sebanyak 1,336 kes direkodkan dengan kerugian lebih RM18,884,583, berbanding tahun sebelumnya dengan 309 kes bersama kerugian lebih RM4,431,409.
“Berdasarkan siasatan, modus operandi yang sering digunakan adalah mengiklankan kenderaan import terpakai yang kononnya dari Singapura, Thailand, Jepun dan sebagainya di medium media sosial.
“Harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding pasaran semasa. Mangsa berminat dengan tawaran itu kemudian akan diminta memasukkan wang ke akaun keldai konon untuk pembayaran wang proses, cukai jalan, geran, kastam dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Ramli menjelaskan, mangsa tidak menerima kenderaan yang dijanjikan selepas wang deposit tersebut dibayar. Justeru, beliau menasihati masyarakat supaya mengambil langkah pencegahan sebelum membuat pembelian seperti menyemak harga jualan semasa kenderaan terpakai di pasaran.
“Selain itu, pembeli juga boleh hadir secara fizikal ke syarikat jualan kenderaan terpakai untuk melihat sendiri kenderaan yang dijual serta berbincang dengan ejen jualan sah.
“Jangan mudah percaya dengan iklan jualan kenderaan terpakai yang menawarkan harga terlalu murah atau istimewa atas alasan pengecualian cukai kastam, kereta rampasan dan sebagainya yang tidak dapat dipastikan kesahihan,” katanya.
Ramli menyarankan agar pembeli mastikan urusan perjanjian jual beli melalui kaedah yang diperakui supaya tidak menjadi mangsa. Beliau turut menjelaskan bahawa pembeli boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon terlebih dahulu di portal semakmule untuk mengenal pasti akaun terbabit penipuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.