Pembuat automotif dari China, BYD telah memintas kedudukan Tesla sebagai jenama EV paling laris di Singapura bagi lima bulan pertama tahun ini, lapor Straits Times.
Berdasarkan data dari Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, BYD telah mendaftarkan sebanyak 303 unit EV di republik berkenaan dari Januari hingga Mei, membolehkan ia berada di hadapan pembuat EV dari Amerika Syarikat tersebut yang hanya mendaftarkan sebanyak 283 unit EV untuk tempoh masa yang sama.
Tesla merupakan jenama EV paling laris di Singapura pada tahun lalu dan BYD berada di tempat kedua dengan ketinggalan hanya 89 unit. Jumlah jualan Tesla di negara berkenaan tahun lalu juga sebenarnya telah turun dari menguasai pendaftaran sebanyak 53.1% pada 2021 kepada hanya 24.1% pada 2022.
Data dari LTA itu juga mendedahkan bahawa sebanyak 1,462 kereta elektrik telah didaftarkan di Singapura sepanjang lima bulan pertama tahun ini, dan ia adalah 13.4% dari jumlah pendaftaran keseluruhan kenderaan baharu di republik tersebut – naik 11.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Namun jumlah keseluruhan kenderaan elektrik dalam Singapura masih lagi rendah, iaitu hanya 7,961 unit EV yang digunakan di atas jalan raya negara tersebut pada akhir Mei lalu, atau hanya 1.2% dari populasi keseluruhan kereta di sana.
Laporan itu juga turut menambah separuh dari 10 jenama automotif paling laris di Singapura iaitu Mercedes-Benz (171 unit), Hyundai (56), Polestar (51), Porsche (43) dan MG (42) mengalami kejatuhan dari segi pegangan bahagian pasaran. Manakala Opel (98 unit) dan Volvo (57) pula merupakan dua jenama yang berjaya masuk ke senarai 10 terlaris tersebut, dengan mengenepikan BlueSG (syarikat perkongsian kereta elektrik Bluecar) dan juga Audi yang terkeluar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.