Chery Malaysia telag menguar-uarkan bahawa pihaknya akan melancarkan modelnya di pasaran tempatan pada 6 Julai ini. Ia melibatkan dua model SUV Chery Omoda 5 dan juga Tiggo 8 Pro. “Block your calendars on 6 July 2023 and witness our momentous brand launch! The Omoda 5 and Tiggo 8 Pro will be taking centre stage,” kata Chery Malaysia menerusi laman Facebook rasminya.
Chery Omoda 5 merupakan sebuah SUV kompak yang bakal menjadi pesaing terbaru bagi Honda HR-V, Toyota Corolla Cross dan Proton X50. Dijual di Malaysia sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah, sekaligus menjadikan negara ini sebagai hab produksi bagi unit pemanduan sebelah-kanan.
Omoda 5 dengan spesifikasi pasaran Malaysia akan menggunakan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang menjana 147 PS (145 hp) dan 230 Nm tork. Kuasa ini disalur ke roda hadapan melalui CVT. Chery Malaysia juga telah mengesahkan bahawa enjin berkenaan akan diberikan jaminan 10-tahun/1,000,000 km daripada Chery, sebuah tawaran yang menunjukkan mereka cukup yakin dengan produk yang dihasilkan.
SUV ini menampilkan pendekatan rekaan Art in Motion oleh Chery, dengan kelainan antaranya di bahagian gril depan yang besar dan tanpa bingkai, yang masuk bersekali dengan DRL LED tirus yang ada. Lampu utama LED pula terletak berdekatan bucu bampar depan di bawah DRL, dan di belakang, rekaan lampu yang diberikan lebih lebar dengan tulisan Chery.
Di dalam, papan pemukanya yang lebar menempatkan kluster instrumen serta skrin sentuh di tengah, kedua-duanya bersaiz 10.25-inci. Skrin kedua itu adalah untuk kegunaan infotainmen yang lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dengan sokongan sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.
Agak-agak berapakah harga bagi Omoda 5 ini? Kami menjangkakan harganya di antara X50 Flagship (RM113,300) dan HR-V Turbo V (RM134,800).
Bagi SUV segmen-D tujuh tempat duduk dari Chery iaitu Tiggo 8 Pro pula, untuk pasaran Malaysia, ia tidak diberikan perkataan “Max” supaya namanya lebih ringkas. Walaupun unit ini merupakan versi pemanduan sebelah kanan dengan spesifikasi penuh pasaran Malaysia, ia sebenarnya masih lagi unit yang diimport sepenuhnya (CBU), tetapi menampilkan perincian-perincian terkini yang sama seperti Chery Tiggo 8 Pro Max pasaran China, dan sama dengan versi pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Inokom di Kulim.
Untuk enjin, Tiggo nampaknya bakal menjadi antara model yang paling berkuasa dalam kelasnya – dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api penuh (T-GDI) menghasilkan 250 hp dan tork maksima 390 Nm. Kuasa dari enjin berkenaan hanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, serta diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.
Dari segi rupa, model sebenar spesifikasi tempatan ini agak sedikit berbeza dari versi yang dipratonton di Malaysia pada tahun lalu. Tiggo 8 Pro 2023 ini menampilkan gril “galaxy’ baharu pada sebelah muka, manakala di belakang ia hadir dengan lampu bar LED yang merentangi sepenuhnya bersama lampu brek ketiga berbentuk-T. Set roda juga dipertingkat dengan rim 19-inci, berbanding hanya 18-inci yang ditunjuk sebelum ini.
Bahagian dalam Tiggo 8 Pro ini juga dilihat menerima perincian yang agak mewah. Ia menerima papan pemuka dengan elemen melintang, bersama skrin gergasi berkembar dengan saiz 24.6-inci secara keseluruhan untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital penuh.
Imej ‘mewah’ pada Tiggo 8 Pro ini juga sebenarnya datang dari rekaan yang nampak dinspirasikan dari model-model dari Mercedes-Benz – cuba lihat pada bahagian-bahagian seperti suis-suis kawalan, kemasan kayu pada papan pemuka dan juga gril pembesar suara dengan gaya Burmester pada pintu serta jalur LED untuk lampu suasana kabin.
Ia juga menerima roda stereng baharu, menampilkan tulisan ‘Chery’ bagi menggantikan logo rasmi. Kabin Tiggo 8 Pro 2023 pasaran Malaysia ini juga menerima lapan-pembesar suara dari Sony serta sembilan beg-udara.
Antara perincian lain yang turut dibekalkan untuk Tiggo 8 Pro pasaran Malaysia ini termasuk brek parking elektonik bersama fungsi auto-hold, lampu hadapan LED automatik bersama lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu selamat datang bersama lampu suasana kabin pelbagai warna, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan pemanas/liang udara, fungsi memori pada tempat duduk pemandu, pendingin hawa automatik dua-zon dengan liang kabin belakang, pintu tailgate berkuasa, bumbung suria panaromik elektrik, pengecas tanpa wayar serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Harganya? Mungkinkah Tiggo 8 Pro mahal sedikit berbanding pesaingnya Proton X90 tetapi lebih murah berbanding Mazda CX-8, barangkali sekitar RM165k? Apa pun kena nantikan pelancarannya pada bulan hadapan.
GALERI: Chery Omoda 5 2023 di Malaysia
GALERI: Chery Tiggo 8 Pro 2023 di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.