Semalam tular satu video di mana dua orang warga Singapura ‘mengamuk’ selepas ditegur oleh seorang penghantar makanan di Johor Bahru kerana mengisi petrol RON95 bersubsidi dalam sebuah tong. Selepas insiden itu berlaku, nasib malang pula menimpa penghantar makanan berkenaan kerana dia mendakwa akaun aplikasi yang digunakan untuk bekerja berkenaan digantung oleh pengendalinya, lapor Kosmo.
Menurut laporan akhbar berkenaan, satu video yang dimuat naik pada aplikasi Tiktok menerusi akaun bernama matkibot memaparkan penghantar makanan yang berusia 44 tahun itu menyatakan bahawa akaun aplikasi pintar miliknya kini telah digantung oleh pengendali sejak pukul 6 petang semalam.
“Selepas video ini viral di media sosial, Grab telah suspended (gantung) pada pukul 6 petang hari ini (semalam), saya segera menghubungi perkhidmatan pelanggan Grab. Saya diberitahu akan dihubungi pihak atasan Grab dalam masa 24 jam.
“Selepas 20 minit saya telah dihubungi pihak Grab, saya diberitahu ada orang membuat laporan.
“Melaporkan saya mengeluarkan skru driver (pemutar skru) untuk melawan, CCTV (rakaman televisyen litar tertutup) ada, boleh la check (semak),” katanya dalam video tersebut.
Lelaki berkenaan menegaskan bahawa dia mengambil pendirian berani kerana benar selain mendakwa tidak bersalah. Dia turut kecewa kerana sikap dua individu berkenaan telah menyebabkan dia kini tidak dapat mencari rezeki kerana tidak dapat mengambil tempahan sejak semalam dan tidak tahu bila ia akan berakhir.
“Saya dapat RM100, kena hantar RM50 untuk isi perut anak bini, begitulah kita di Malaysia, okey tak kalah pun, tak takut pun, akhirnya kita mati juga begitulah nasib rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam video satu minit 40 saat berkenaan, dapat dilihat dua lelaki dipercayai warga Singapura bergaduh dengan seorang penghantar makanan di sebuah stesen minyak. Rakaman tersebut juga menunjukkan salah seorang lelaki warga Singapura itu membuka but kenderaan dan mengeluarkan peralatan seperti pengunci stereng sebelum membuat provokasi mahu menyerang penghantar makanan berkenaan.
Kosmo melaporkan pertelingkahan tersebut berlangsung hampir 10 minit, dan ia berjaya dileraikan dua anggota polis bantuan di lokasi kejadian selepas itu.
Susulan kejadian tersebut, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi. Menurutnya siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 8.37 malam, 16 Jun lalu dan pertelingkahan dipercayai berpunca daripada salah faham apabila pekerja penghantar makanan menegur lelaki warga Singapura mengisi minyak ke dalam tong.
“Hasil siasatan kita mendapati terdapat salah faham, lelaki warga Singapura itu mendakwa mengisi minyak ke dalam tong untuk kegunaan go-kart.
“Semasa kejadian, mereka (lelaki Singapura) belum lagi mengisi minyak sebelum ditegur rider dan berlaku pertelingkahan antara kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.