Pos Malaysia telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Yinson GreenTech (YGT) untuk stesen pengecas EV di beberapa cawangan pejabar pos. Buat masa ini, cawangan yang terlibat ialah di
Shah Alam, Ipoh, Melaka, Seremban, Alor Setar dan Johor Bahru, stesen pengecas EV yang beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 11 malam ini dikuasakan oleh ChargEV, pengendali rangkaian pengecas EV terbesar di negara ini.
Menurut pembekal perkhidmatan pos dan bungkusan Malaysia ini, setiap cawangan akan ditempatkan satu unit pengecas pantas DC dengan dua muncung jenis CCS2 (pengecasan pantas) dengan kuasa 40kW. Pos Malaysia berkata pihaknya akan menambah jumlah stesen pengecasan secara berperingkat, dengan rancangan untuk memperluaskan liputannya ke Pejabat Pos yang lain, memastikan akses yang lebih mudah untuk pemilik EV serta menyokong peningkatan jumlah EV di negara ini.
Selari dengan perkembangan matlamat sifar bersih, Pos Malaysia baru-baru ini menggunakan lebih 40 e-Bike untuk menghantar mel dan bungkusan di seluruh Lembah Klang tanpa melepaskan karbon. Menjelang akhir 2023, Pos Malaysia menyasarkan untuk mempunyai gabungan lebih 200 e-Bike dan 140 e-Van, di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Dengan kerjasama rakan kongsi seperti Yinson, kami boleh memacu perubahan positif dalam bidang pengangkutan yang lestari dan mengurangkan kebimbangan jarak bagi pengguna EV melalui pemasangan stesen pengecas EV di Pejabat Pos Malaysia (PO) kami.
“Ini menunjukkan komitmen kami yang teguh untuk mengurangkan pelepasan karbon dan memajukan masa hadapan yang lebih hijau untuk Malaysia, dan ia dilengkapi melalui inisiatif kelestarian yang lebih besar termasuk matlamat sifar bersih kami,” kata CEO Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewe.
CEO YGT, Eirik Barclay, pula berkata berkata berdasarkan aspirasi untuk membantu perniagaan beralih ke arah kelestarian, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Pos Malaysia dalam melancarkan stesen chargEV di seluruh lokasi terpilih.
“Ia bukan saja memperluaskan rangkaian pengecasan komprehensifnya yang menawarkan pengguna EV dengan pengalaman yang mudah dan lancar semasa mereka menjalani kehidupan seharian. Malah, katanya, ia memberi manfaat kepada Pos Malaysia dengan mengurangkan jejak karbon mereka, justeru mengambil langkah pertama dalam memainkan peranan bagi mempercepatkan masa depan sifar bersih.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.