Kita sudah melihat banyak model Vespa keluaran istimewa yang melibatkan kerjasama dengan pelbagai jenama terkenal dan ini adalah yang terbaru, dipanggil sebagai Vespa Disney Mickey Mouse Edition. Ia dibuat bersempena dengan sambutan ulang tahun Disney yang ke-100.
Menggunakan model Primavera sebagai asas, Vespa Disney Mickey Mouse Edition ini menggunakan kombinasi warna pada kuning, hitam dan merah pada badannya, sementara beberapa bahagian seperti kemasan keliling lampu hadapan, pemegang belakang dan kemasan panel tepi masih kekal berwarna krom.
Menjadikannya lebih istimewa adalah grafik watak kartun popular Mickey Mouse pada bahagian panel depan serta tepi. Kemudiannya pada tempat duduk, terdapat cop tanda tangan Mickey Mouse pada kain pembalut.
“Kolaborasi antara Vespa dan Disney ini melambangkan sambutan untuk dua syarikat bersejarah yang mempunyai impian sama: untuk membenarkan semua orang meluahkan imaginasi mereka secara bebas,” kata ketua eksekutif bahagian strategi, produk, pemasaran dan inovasi global Piaggio Group, Michele Colaninno.
“Sama seperti Mickey Mouse, Vespa juga adalah satu lambang budaya, meletakkan rasa seronok dan mahu menjelajah, dan bersama-sama, mereka membentuk satu kombinasi yang menarik, mengembangkan lagi kisah penceritaan kami,” kata timbalan presiden kanan produk Disney, Claire Terry.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.