Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa Jalan Gua Musang-Kuala Lipis telah pun kembali dibuka sejak petang semalam. Pembukaan jalan tersebut pastinya mampu melancarkan lagi perjalanan orang ramai menuju ke Kelantan, terutamanya pada Aidiladha yang bakal disambut Khamis ini.
Sebelum ini, ia ditutup sejak 4 April lalu bagi memberi laluan kepada penanaman cerucuk Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C.
Menurut Alexander, pembukaan laluan itu membabitkan satu lorong sahaja iaitu dari lampu isyarat Taman Wangi di Kuala Lipis hingga ke Petronas Persiaran Raya, Gua Musang.
“Laluan ini telah dibuka kepada kenderaan ringan selepas ia (laluan terbabit) siap dibina pada 22 Jun lalu. Pembukaan laluan ini tentunya akan memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur dan khususnya penduduk tempatan.
“Saya juga berharap pembukaan laluan ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya yang akan pulang menyambut Hari Raya Aidil Adha yang bakal tiba dan juga selepas musim perayaan nanti,” katanya.
Sebelum ini, terdapat beberapa isu yang timbul apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) memutuskan untuk menutup Jalan Gua Musang-Kuala Lipis. Di mana pengguna jalan raya yang mahu ke bandar Gua Musang atau ke Kuala Lipis, perlu melalui jalan alternatif, iaitu FT 008 – Jalan Bentong-Gua Musang Bentong. Walau bagaimana pun, jalan alternatif yang disebut ini mempunyai banyak simpang dan agak sempit, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada kesesakan jalan jika banyak kenderaan melalui jalan itu.
Apatah lagi penutupan laluan berkenaan ‘tidak kena pada masanya’ kerana dilaksanakan pada bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri yang lalu. Ketika itu, banyak pihak memohon agar JKR untuk menangguhkan penutupan laluan berkenaan. Namun JKR Kelantan menegaskan bahawa Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis tidak boleh ditangguh memandangkan kerja sudah dilakukan. Malahan sekiranya laluan itu dibuka, ia tetap tidak boleh dilalui kenderaan memandangkan pemasangan cerucuk sudah dilakukan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.