Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan Ops Khas terhadap motosikal diubahsuai secara ekstrem yang menggangu dan menjejaskan kesejahteraan penduduk sekitar melalui aktiviti rempit dan lumba haram.
Menurut Bahagian Penguatkuasa JPJ, operasi ini adalah susulan aduan awam yang diterima dan dilaksanakan di Lebuhraya DUKE selama tujuh jam mulai 10 malam, melalui strategi sekatan jalan raya (SJR) dengan melibatkan 75 anggota bagi memantau di kedua-dua arah lebuhraya berkenaan.
“Di mana anggota penguatkuasaan yang terbabit ditempatkan termasuk di lokasi-lokasi lorong tikus dan menahan mana-mana kenderaan yang cuba membuat pusingan lari daripada tindakan penguatkuasaan.
“Hasil daripada Ops Khas ini, sebanyak 691 saman dan 155 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada insurans, LKM tamat tempoh serta kesalahan-kesalahan kegagalan mematuhi piawaian teknikal seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai motosikal secara ekstrem, yang menyebabkan disita sebanyak 56 buah kenderaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan.
JPJ turut berkata, pihaknya akan terus meningkatkan usaha pelaksanaan pematuhan kepada Akta 333 dan Akta 715 bagi tujuan mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.