VIDEO: Hyundai Ioniq 5 N lengkapkan ujian di Nürburgring; bunyi enjin dan tukar gear macam real!

VIDEO: Hyundai Ioniq 5 N lengkapkan ujian di Nürburgring; bunyi enjin dan tukar gear macam <em>real</em>!

Pembuat automotif dari Korea Selatan, Hyundai mengumumkan bahawa model elektrik penuh (EV) dengan lencana sayap perlumbaan Hyundai N iaitu Ioniq 5 N kini telah pun melengkapkan ujian ketahanan 10,000 km di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife, di Jerman sebelum ia membuat kemunculan sulung di Goodwood Festival of Speed (GFOS) yang akan berlangsung bulan depan.

Nürburgring merupakan ‘rumah kedua’ bagi Hyundai N selain pusat R&D jenama itu yang terletak di Namyang, Korea Selatan, dan ujian ini adalah penting bagi memastikan Ioniq 5 N memenuhi tiga kriteria utama untuk N Performance iaitu nakal di selekoh, mempunyai keupayaan di litar lumba dan juga menjadi kereta sport yang boleh digunakan setiap hari.

Ioniq 5 N ini diasaskan dari model biasa hatchback EV Hyundai Ioniq 5 yang dibina dari platform Electrified-Global Modular Platform (E-GMP), tetapi ditala semula dengan pengetahuan Hyundai N yang diperolehi dari dunia perlumbaan sebenar.

Menurut Hyundai, Ioniq 5 N ini diberikan sistem penyejukkan yang membolehkan suhu bateri kekal walaupun kereta ini ‘dibelasah’ di dalam litar dalam tempoh waktu yang lama. Naib presiden dan ketua jenama N & sukan permotoran Hyundai, Till Wartenberg menyatakan bahawa pembangunan sistem pengurusan haba pada EV adalah lebih mencabar dari enjin pembakaran dalaman biasa.

Untuk itu, Ioniq 5 N ini diberikan pakej radiator N dengan bahagian penyejukan yang lebih besar serta menerima penyejuk minyak dan penyejuk bateri serta menerima perisian seperti N Battery Preconditioning dan N Race bagi menyelia dan mengurus kelengkapan-kelengkapan tersebut.

Sistem N Battery Preconditioning akan menetapkan suhu sel bateri kepada suhu paling cekap kuasa. Fungsi sistem tersebut dibahagikan kepada dua mod iaitu mod ‘Drag’ dan mod ‘Track’ yang boleh dipilih oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi.

Dalam mod Drag, suhu optimum ditetapkan untuk penggunaan segera kuasa maksimum. Manakala dalam mod Track, suhu bateri yang paling rendah dioptimumkan bagi membolehkan kereta ini dipandu lama dalam litar lumba. Manakala N Race memberi pemandu lebih kawalan langsung ke atas penggunaan tenaga kereta, mengutamakan pemanduan ‘Sprint’ atau ‘Endurance’.

‘Sprint’ menjadi tetapan asal untuk Ioniq 5 N dan ia mengutamakan kuasa penuh yang diperlukan pemandu. Manakala ‘Endurance’ pula ialah tetapan yang memaksimumkan jarak gerak Ioniq 5 ini dalam litar lumba. Ini dicapai dengan mengehadkan lonjakan kuasa secara tiba-tiba yang melambatkan pembentukan suhu dan meningkatkan daya ketahanannya.

VIDEO: Hyundai Ioniq 5 N lengkapkan ujian di Nürburgring; bunyi enjin dan tukar gear macam <em>real</em>!

Ioniq 5 N ini juga diberikan sistem Regenerative Braking yang bukan sahaja membolehkan kuasa kinetik ditukarkan kepada kuasa elektrik ketika membrek, malah ia juga membantu memberikan kuasa pemberhentian yang lebih baik. Menurut Hyundai sistem pada Ioniq 5 N ini direka khas bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa nyah pecut maksima 0.6 G, iaitu yang paling besar pernah ditawarkan dalam industri.

Sistem regenarative braking tersebut masih berfungsi walaupun ABS sedang aktif dengan memberikan kuasa nyah pecut maksima 0.2 G. Manakala untuk sistem brek konvensional, Ioniq 5 N ini dibekalkan dengan cakera berdiameter 400 mm, menampilkan material ringan dan direka bagi memaksimakan aliran udara.

Seperti yang sudah diumumkan sebelum ini, Ioniq 5 N turut dilengkapi dengan sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT – dan ia kedengaran jelas dalam video teaser terbaharu untuk ujian akhir di Nürburgring ini!

Menurut Hyundai, sistem ini dibangunkan bukan hanya untuk memberikan sensasi pemanduan seperti kereta sport dengan enjin pembakaran dalaman biasa, malah ia turut akan memberikan tindak balas dan juga kawalan lebih tepat kepada pemandu.

VIDEO: Hyundai Ioniq 5 N lengkapkan ujian di Nürburgring; bunyi enjin dan tukar gear macam <em>real</em>!

Bagi menghasilkan N Active Sound ini, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang!

Untuk tema bunyi Evolution pula akan memberikan bunyi elektrik yang diinspirasikan dari bunyi model konsep RN22e dan N 2025 Vision Gran Turismo Concept. Manakala bagi Supersonic, ia menghasilkan bunyi seakan jet pejuang yang akan memberikan “sensasi pemanduan seperti juruterbang jet pejuang”, dakwa Hyundai. Kesemua tema bunyi ini boleh dilaras sendiri oleh pemandu bagi disesuaikan dengan selera masing-masing.

Untuk N e-Shift pula, ia akan berfungsi secara integrasi dengan N Active Sound. Rasa seakan tukaran gear kotak gear DCT tersebut dihasilkan dengan kawalan terhadap kuasa tork motor elektrik Ioniq 5 N ini. Hyundai menyatakan sistem ini direka bagi membolehkan pemandu menggunakan teknik memandu laju kereta dengan enjin pembakaran dalaman pada Ioniq 5 N ini, dan ia rasa lebih seperti sebuah kereta dengan enjin petrol berbanding EV.

Kemunculan Ioniq 5 N ini di GFOS pada 13 Julai nanti turut menjadi detik bersejarah di mana ia merupakan kali pertama Hyundai menyertai acara sukan permotoran ikonik tersebut. Hyundai turut akan membawa model-model N yang lain untuk beraksi di Goodwood tahun ini termasuk model konsep prestasi hidrogen Hyundai N Vision 74.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required