Kerajaan tempatan di New South Wales, Australia iaitu Bayside Council bakal memasang kamera-kamera dengan teknologi pengaktifan bunyi di sekitar Bandaraya Sydney, bagi memburu pengguna jalan raya menggunakan ekzos bising pada kenderaan mereka.
Menurut laporan Drive.com.au, kamera-kamera tersebut bakal dipasang di kawasan-kawasan ‘panas’ sekitar Botany Bay, selatan Sydney yang sering dikunjungi mereka yang gemar memandu dan menunggang motosikal dengan tidak bertanggungjawab.
Kamera-kamera tersebut akan diaktifkan secara automatik sekiranya mengesan bunyi dari kenderaan yang melalui jalan berkenaan. Ia akan menangkap gambar kenderaan dan juga nombor pendaftaran jika tahap desibel bunyi yang dihasilkan tersebut melebihi tahap yang dibenarkan, dan saman akan dikeluarkan selepas itu.
Buat masa sekarang Bayside Council sedang menunggu kelulusan dari kerajaan New South Wales, Badan Perlindungan Alam Sekitar (EPA) NSW dan polis NSW untuk memulakan ujian penggunaan kamera berkenaan. Ia disasarkan untuk mengurangkan “kelakuan anti-sosial” di kawasan tersebut.
Di New South Wales, tahap bunyi maksima yang dibenarkan untuk sebuah kereta adalah 90 desibel, sementara motosikal pula tidak boleh melebihi 94 desibel. EPA boleh mengeluarkan saman sekitar AUD150 (RM465) sehingga AUD500 (RM1,550) kepada individu yang menggunakan kenderaan yang menghasilkan bunyi lebih dari yang dibenarkan.
Laporan itu turut menyebut bahawa kawasan seperti Brighton Le Sands, Dolls Point, Sandringham, dan Rockdale yang terletak di dalam bidang kuasa Bayside Council sememangnya terkenal sebagai kawasan yang popular dengan kenderaan yang diubahsuai.
Sekiranya kamera berkenaan menangkap gambar kenderaan yang menghasilkan bunyi bising dari tahap yang dibenarkan, polis juga boleh mengambil tindakan terhadap individu tersebut kerana “menggunakan kenderaan yang menghasilkan bunyi yang tidak sepatutnya” (termasuk perbuatan melakukan aksi burnout atau sengaja menekan pedal pendikit dengan kuat), dengan mengeluarkan saman berjumlah AUD206 (RM640).
Saman berkenaan tidak semestinya disebabkan oleh bunyi ekzos, malah sekiranya sistem ambilan udara turut diubahsuai dan menghasilkan tahap bunyi lebih dari yang dibenarkan, pemandu kenderaan berkenaan boleh dikenakan saman bernilai AUD150 serta dua markah demerit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.