Pembukaan Fasa 2 bagi MRT Laluan Putrajaya (MRT2) telah mencatatan lonjakan jumlah penumpang harian sehingga 305%. Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, jumlah bagi penumpang harian meningkat dari 23,000 orang ketika Fasa 1, menjadi 93,000 orang sehari bagi Fasa 2 ini.
Loke berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Negara semalam, laporan Bernama. Beliau memberikan maklumbalas terhadap soalan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, yang bertanya berkenaan rancangan kementerian untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan MRT2, yang dibangunkan dengan kos bernilai RM30.53 bilion.
Loke berkata RapidKL akan menyediakan bas perantara di sekitar Putrajaya bagi memprosikan MRT2, yang melibatkan lima laluan iaitu dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Precint 10, Precinct 16, Precinct 4, Precinct 11 dan Ayer 8. Beliau menambah jumlah penumpang dijangka meningkat berdasarkan keadaan semasa.
Bagi purata bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan Rapid Rail (MRT Laluan Sg Buloh-Kajang, MRT2, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan Kelana Jaya, KL Monorel) pada hari biasa, beliau berkata ia juga meningkat sebanyak 21% sejak awal tahun ini, dari 613,000 pada Januari ke 746,000 pada Jun.
Selain itu, beliau berkata bilangan penumpang perkhidmatan Rapid Rail dijangka meningkat lagi menjelang suku keempat 2023 apabila tren baharu ditempatkan di laluan LRT Kelana Jaya dan apabila kerja pembaikan struktur retak laluan LRT Ampang/Sri Petaling selesai sepenuhnya.
“Kementerian Pengangkutan, melalui Prasarana, akan terus menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam dan melabur dalam infrastruktur rel dan bas mengikut keperluan untuk menggalakkan peralihan kepada sistem pengangkutan awam yang lebih selesa, selamat dan rendah karbon,” katanya sambil menambah bahawa Pas Perjalanan Tanpa Had MY50 untuk perkhidmatan rel dan bas akan diteruskan sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mempromosikan penggunaan pengangkutan awam.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.