Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mula melaksanakan OP Lancar sempena perayaan Hari Raya Aidiladha bagi memastikan aliran trafik bergerak dengan baik di seluruh negara mulai hari ini, 28 Jun hingga 2 Julai 2023.
JSPT dalam kenyataannya berkata, OP Lancar pada kali ini berperanan memantau dan mengambil tindakan penyuraian lalu lintas di semua lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan lebuh raya yang menghubungkan negeri dan daerah seperti jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan bandaran.
Selain itu, persimpangan lampu isyarat atau persimpangan yang dijangkakan akan berlaku kesesakan yang melampau turut dipantau bagi memberi keselesaan pergerakan lalu lintas.
Dalam masa yang sama, JSPT turut memberi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa bekerjasama, berhemah, berhati-hati dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan bagi mengelak kemalangan berlaku. Selain itu, orang ramai dinasihati agar rancang pergerakan dengan kesihatan yang baik dan minda yang cergas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.