Setelah menikmati perjalanan tanpa tol selama dua minggu ketika melalui Plaza Tol Alam Damai, dari 16 ke 29 Jun bersempena dengan pembukaan Fasa 2 Lebuhraya SUKE, mulai 12.01 tengahmalam tadi, pengguna sudah mula dikenakan bayaran di plaza tol berkenaan.
Kadar tol yang ditetapkan kekal sama seperti yang dikenakan di Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang mengikut kelas kenderaan, iaitu kereta (RM2.30), Lori (RM4.60), treler (RM6.90), teksi (RM1.20) dan bas (RM2.30).
Pembayaran kutipan tok dilaksanakan sepenuhnya secara transaksi tanpa tunai iaitu menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Secara keseluruhannya, Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 km (57.7 km jika dikira sekali dengan laluan susur keluar) mempunyai 14 persimpangan keluar, iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Hillview dan Bukit Antarabangsa.
Terdahulu, Fasa 1 SUKE dibuka kepada orang awam pada 16 September 2022 lalu dan ia bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang dengan laluan utama sepanjang 16.6 km, 11 persimpangan dan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang. Sejak ia dibuka, setakat 31 Mei 2023, purata trafik yang menggunakannya mencecah 60,000 buah kenderaan sehari.
PROLINTAS turut memaklumkan, buat masa ini, Fasa 3 SUKE yang melibatkan Persimpangan Alam Damai masih dalam pembinaan dan dijangka akan mula dibuka pada suku ketiga tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.