Akaun Instagram Tesla Malaysia kini telah muncul melalui @teslamotorsmys, sekaligus memberi petunjuk kepada pelancaran di sini yang mungkin akan dilakukan dalam masa terdekat. Walaupun akaun berkenaan tidak ditandai “blue tick” untuk menunjukkannya sebuah akaun rasmi, satu daripada pengikutnya ialah @teslamotorssg, akaun Tesla Singapura, yang juga tidak ditandai dengan “blue tick”.
Ramai di dalam industri mengandaikan pelancaran jualan di Malaysia jenama ini akan bermula hujung tahun nanti, tetapi jika ia berlangsung lebih awal daripda itu, ia menandakan betapa cepatnya syarikat berkenaan beroperasi dan membuat persiapan yang diperlukan. Berita terawal tentang pelancarannya di sini muncul apabila syarikat tempatan yang terlibat dinamakan semula pada Oktober 2022.
Pad Mac 2023 pula, Menteri MITI Tengku Zafrul umumkan inisiatif BEV Global Leaders dan pemohon pertama yang diluluskan ialah Tesla Motors, yang dibenarkan untuk menjual kereta di Malaysia tanpa peraturan AP biasa.
Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Tesla Malaysia perlu memasang sekurang-kurangnya 50 unit pengecas pantas DC dengan kuasa pengecasan minimum 180 kW, dan sekurang-kurangnya 30% (15 unit) daripada pengecas ini perlu terbuka untuk kegunaan umum, termasuk EV dari jenama lain.
Menjelang Mei 2023, komponen Tesla juga telah didaftarkan dengan SIRIM, dan Tesla Malaysia mengadakan hari pengambilan pekerja terbuka pada Jun lalu, dengan lebih 6,000 pemohon terlibat. Kami menjangkakan Tesla Malaysia akan menawarkan Model 3 dan Model Y seperti di pasaran ASEAN lain, yang merupakan model Tesla pemanduan sebelah kanan ketika ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.