Proton hari ini menjalin kerjasama dengan Aapico Hitech Public Company Limited (Aapico) menerusi anak syarikatnya, Advanced Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVEE Global) untuk pengeluaran alatan dan bahagian kenderaan. Aapico merupakan syarikat pembekal komponen dan alatan automotif terbesar di Thailand.
Kerjasama ini menyaksikan Aapico mengambil alih 60 peratus pegangan dalam AVEE Global daripada Proton, yang akan mengekalkan 40 peratus pegangan dalam syarikat yang akan dinamakan semula sebagai Aapico Avee Sdn Bhd.
Perkembangan ini akan menyaksikan Aapico akan melaburkan sebanyak RM40 juta untuk kemudahan 20 ekar AVEE Global dengan perancangan untuk pengembangan dalam memenuhi keperluan pengeluaran kenderaan Proton dan industri automotif secara keseluruhannya. Pelaburan RM100 juta lagi dirancangkan pada 2024, untuk perluasan kilang dan pembelian mesin pengeluaran lainnya.
Operasi kemudahan pengilangan yang terlibat akan mempergiat jumlah pengeluaran dengan produk baru turut ada dalam perancangan. Aapico akan berperanan untuk mengurus operasi dan memperkenalkan aplikasi teknologi baru untuk menghasilkan komponen yang lebih berkualiti, memperkemas pengeluaran dan cekap kos. Pembangunan sumber manusia dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerkaan juga menjadi sebahagian daripada perancangannya.
Melalui kerjasama ini, Proton akan memperkukuh impiannya untuk menjadi pengeluar kenderaan utama dalam pasaran automotif ASEAN. Dengan skala ekonomi yang dimiliki Aapico dan pelaburannya, serta teknologi sedia ada Proton dalam aspek hot press forming, Proton berharap mampu mencatatkan pertumbuhan lebih pesat di dalam pasaran automotif serantau.
Kerjasama strategik Aapico-Proton merupakan usahasama kedia Aapico dalam sektor automotif Malaysia. Awal tahun ini, Aapico menandatangi perjanjian persefahaman dengan Purem, satu daripada pembekal sistem ekzos terbesar di dunia. Sebelum ini juga, Aapico bertapak di Malaysia melalui perniagaan pengedaran kenderaannya, yang mana syarikat itu memiliki dan menguruskan enam rangkaian pengedaran kenderaan, termasuk empat pengedar Proton.
Aapico ditubuhkan oleh seorang warga Malaysia, Yeap Swee Chuan, dan menjadi pemegang saham terbesar syarikat itu dan bertindak selaku Presiden dan CEO Aapico. Aapico juga menjadi pembekal komponen automotif kepada semua syarikat pengeluar (OEM) di Thailand, termasuk Toyota, Isuzu, Honda, Nissan, Ford, Mitsubishi dan lain-lain. Pada 2022, Aapico mencatatkan pendapatan RM3.7 bilion dengan keuntungan RM240 juta.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.