Toyota Alphard 2.4 Turbo dan Vellfire 2.5L 2023 – harga untuk pasaran M’sia terdedah, RM438k-RM538k?

Toyota Alphard 2.4 Turbo dan Vellfire 2.5L 2023 – harga untuk pasaran M’sia terdedah, RM438k-RM538k?

Pengedar kenderaan Toyota di Malaysia nampaknya sudah mula menyiarkan senarai harga untuk Toyota Alphard dan Vellfire 2023 yang baru sahaja didedahkan kepada dunia bulan lepas. Walaupun begitu, UMW Toyota Motor (UMWT) sendiri masih belum mengesahkan sama ada model ini akan dibawa ke Malaysia (dan bila akan dilancarkan).

Merujuk kepada senarai harga ini, Alphard dilihat akan ditawarkan dalam varian Executive Lounge, dengan enjin 2.4L turbo. Ini adalah berbeza dengan pasaran Jepun di mana Alphard cuma ditawarkan dengan pilihan enjin hibrid atau NA – kedua-duanya menggunakan enjin empat silinder 2.5 liter.

Sementara itu, Vellfire dalam senarai harga yang tersebar ini pula dinyatakan mempunyai enjin 2.5L NA, tetapi tidak diberitahu sama ada unit hibrid ataupun NA. Di Jepun, Vellfire menggunakan enjin 2.4L turbo (sama seperti Lexus LM 500h) dengan sistem hibrid.

Melihat lebih lanjut kepada pilihan enjin ini, versi hibrid menggunakan unit empat silinder Dynamic Force A25A-FXS 2.5 liter NA berkuasa 190 PS (188 hp atau 140 kW) pada 6,000 rpm dan tork 236 Nm dari 4,300 hingga 4,500 rpm. Ia digabungkan bersama sistem hibrid yang terdiri daripada motor elektrik 5NM berkuasa 182 PS (180 hp)/270, menghasilkan kuasa keseluruhan 250 PS (247 hp atau 184 kW). Transmisi menggunakan kotak gear CVT elektronik (E-CVT), dengan pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.

Bagi versi NA pula, ia menggunakan enjin empat silinder 2.5 liter 2AR-FE berkuasa 182 PS (180 hp) pada 6,000 rpm dan tork 235 Nm pada 4,100 rpm, dipadankan bersama transmisi Super CVT-i. Pergi pula kepada enjin turbo, ia menggunakan unit 2.4 liter turbo berkuasa 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan tork maksima 430, bersama padanan transmisi Direct Shift lapan kelajuan.

Beralih kepada perkara yang lebih penting bagi pengguna, iaitu harga, Alphard dilihat diletakkan dengan tanda RM538,000 tidak termasuk insurans sementara Vellfire pula RM100,000 lebih murah, iaitu RM438,000. Walaubagaimanapun ini cumalah harga jangkaan kerana masih belum disahkan oleh UMWT.

Untuk warna, Alphard ditawarkan dalam warna hitam secara standard, sementara warna Platinum White Pearl, Precious Metal dan Precious Leo-Blond memerlukan tambahan bayaran RM1,000. Kemasan dalaman pula ditawarkan dalam warna Beige atau Black.

Toyota Alphard 2.4 Turbo dan Vellfire 2.5L 2023 – harga untuk pasaran M’sia terdedah, RM438k-RM538k?

Pergi kepada Vellfire, warna yang ditawarkan ada tiga, iaitu hitam, Platinum White Pearl dan Precious Metal (dua yang terakhir memerlukan bayaran tambahan RM1,000) – kemasan dalam cuma disediakan dalam warna hitam. Jaminan lima tahun tanpa had batuan diberikan secara standard.

Bagi Alphard dan Vellfire generasi baru ini, platform Toyota New Global Architecture (TNGA), atau lebih spesifik ia menggunakan platfrom TNGA dari versi GA-K. Menurut Toyota, kerangka baharu untuk Alphard dan Vellfire ini menampilkan asas lurus serta pendakap berbentuk-V pada bahagian bawahnya bagi memberikan kadar ketegaran 50% lebih kuat berbanding model sebelumnya.

Walaupun menggunakan asas sama, keduanya dapat dibezakan melalui kemasan luar. Alphard tampil dengan imej lebih eksklusif dan mewah, dengan gril bersaiz besar bersama elemen bersalut krom, diapit dengan lampu hadapan LED yang lebih tirus serta jalur lampu nyalaan siang di bawahnya yang kelihatan seperti sebahagian dari gril.

Vellfire pula diberikan gril dengan elemen bar krom tebal yang disusun tebal melintang, dan juga lampu hadapan yang nampak lebih tebal. Ia juga menampilkan bampar dengan kemasan liang udara palsu bersaiz besar pada kedua-dua sisi. Kluster lampu belakang untuk kedua-dua model ini nampak sama, dibezakan dengan grafik LED di dalamnya.

Berkenaan saiz, kedua-dua kembar MPV ini dilihat hampir sama seperti model generasi sebelumnya – ia lebih panjang dengan ukuran 4,995 mm, tetapi lebar dan jarak roda kekal masing-masing 1,850 mm dan 3,000 mm. Manakala tinggi untuk Alphard dan Vellfire 2023 ini adalah berbeza dari 1,935 mm dan 1,945 mm bergantung pada model dan varian.

Untuk bahagian dalam, Alphard dan Vellfire 2023 berkongsi rekaan terkini yang sama. Papan pemukanya kini menampilkan rekaan lebih ringkas di mana butang-butang fizikal untuk kawalan pelbagai fungsi kini sudah diletakkan pada skrin utama sebagai suis digital.

Di Jepun, Alphard didatangkan dalam dua varian iaitu Z dan Executive Lounge, manakala Vellfire pula ditawarkan dalam varian Z Premier dan Executive Lounge. Kesemua varian menampilkan enam-tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-2, di mana baris kedua diberikan tempat duduk kapten dengan fungsi ottoman kawalan kuasa.

Bagi varian Executive Lounge, tempat duduk kapten tersebut turut diberikan meja yang boleh dilipat serta fungsi pemanas dan aliran udara. Ia juga diberikan panel kawalan yang boleh dicabut untuk mengawal pemain media, pendingin udara dan juga pelindung cahaya matahari.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • All this while I despise these two for having jurassic-era engines.. Everything as changed.. And the new Vellfire looks soooo dope Tak jadi CX9.. Vellfire turbo, mu tunggu aku datang!

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required