Pernah membayangkan bagaimana rupanya kalau Perodua Kancil yang kompak dan kecil dijelmakan dalam penampilan kereta elektrik? Dalam satu hantaran media sosial terbarunya, Saharudin Design berkongsi lakaran digitalnya yang membayangkan sebuah Kancil EV berkenaan.
Rekaan berkenaan asalnya hanyalah kandungan yang digunakan untuk bengkel lakaran digital bersama pelajar UiTM. Melalui beberapa imej yang ada ini, Saharudin menunjukkan bagaimana wajah depan dan sisi kereta EV tersebut, yang dibayangkan juga menjadi sebuah EV Rahmah yang paling mampu milik oleh pengguna di Malaysia — disebabkan itulah Perodua Kancil yang dipilih sebagai asasnya.
Menurut Saharudin, ilham Kancil EV datang daripada Perodua Kancil lama versi terawal, yang kemudiannya diterapkan dengan imej retro yang mirip kepada pendekatan rekaan Honda E, sebuah lagi kereta kompak EV moden yang ada di pasaran Jepun.
Yang dapat dilihat, rekaannya ringkas tetapi menarik, cenderung minimal dengan garis badan yang lurus dan bentuk umum berkotak yang tetap menampilkan gaya elegannya. Wajah depan di bahagian hidungnya tegak, yang dalam sekali pandang, membuatkan Kancil EV ini kelihatan seperti minivan.
Lampu petak di dua sudutnya hadir juga dengan jalur bentuk C di dalamnya, dihubungkan dengan satu jalur krom nipis dengan logo Perodua di tengah. Bahagian bampar juga sama ringkas, dengan perincian ada lampu kabus, dan bahagian bawah bampar dengan lip hitam yang tertutup.
Perbezaan warna yang ditampilkan ini adalah untuk membezakan antara versi EV biasa (kelabu) dan juga EV Sport (merah). Bahagian depan versi Sport misalnya menempatkan rekaan seperti liang udara tak juah dari lampu kirinya, serta dengan perincian ruang lampu kabus yang berlainan, serta bahagian lip bawah dengan bukaan udara di pinggirnya.
Kancil EV ini walaup nampak sporty, tetap mengekalkan praktikaliti dengan rekaan empat pintu. Sesuai dengan pendekatan rekaan moden yang minimalis untuk imej EV, cermin sisi dan pemegang pintunya diberikan rekaan yang kecil dan tirus sahaja. Ia juga diberikan penampilan dwi-tona warna badan, dengan bumbung hitam.
Rasa-rasa rekaan ini betul boleh dijadikan kenyataan sebagai EV Rahmah untuk ramai warga Malaysia? Sebelum ini, Saharudin Design juga pernah menghasilkan rekaan untuk sebuah lagi EV Sport Sedan yang dibayangkan menjadi EV sport pertama Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.