Proton telah mencatat kejayaan separuh pertama tahun 2023 dengan mencapai jumlah jualan terkumpul terbaik sejak tahun 2012. Dengan 14,351 unit dijual pada bulan Jun (bagi pasaram domestik dan eksport), jumlah jualan kini mencecah 77,321 unit, bersamaan dengan peningkatan 28.6% berbanding tahun sebelumnya. Sekaligus mengatasi pertumbuhan jualan untuk industri lebih daripada tiga kali ganda.
Bagi bulan Jun 2023, jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 61,900 unit dan hasilnya, pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 23.2% manakala angka pegangan pasaran tahun sehingga kini telah meningkat semula kepada 21.3%, satu peningkatan sebanyak 3.2% dalam tempoh yang sama dari tahun 2022.
Ini adalah angka pertumbuhan tertinggi di kalangan lima jenama teratas di pasaran automotif Malaysia, yang juga meningkat sebanyak 9.4% pada separuh pertama tahun ini. Di mana lima model keluaran Proton telah mendahului jualan segmen masing-masing pada Jun lalu, termasuk X90 yang mendominasi pasaran SUV segmen-D. Penghantaran X90 kini telah bermula dengan giat dan meningkat lebih daripada empat kali ganda pada bulan Jun. Sebanyak 1,082 unit kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama Proton itu telah diserahkan kepada pelanggan.
Manakala Saga mendahului semula sedan segmen-A dengan melepasi angka 6,000 unit buat kali ketiga tahun ini setelah mengakhiri bulan Jun dengan 6,111 unit. Secara kumulatif, 33,325 unit telah dijual setakat ini, yang juga merupakan prestasi terbaik model itu sejak tahun 2012.
Satu lagi model yang berada di puncak segmen pasarannya pada bulan Jun ialah Persona. Dengan 2,254 unit dijual pada Jun, ia mendahului semula sedan segmen-B sambil mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju segmen keseluruhan selepas enam bulan. Persona juga mencatatkan prestasi terbaik bagi Proton dari segi pertumbuhan jualan individu dengan peningkatan yang memberangsangkan sebanyak 79.4% walaupun terdapat saingan yang lebih baharu dan lebih mahal daripada jenama lain.
Sementara itu, X50 mengekalkan kedudukannya bukan sahaja sebagai pendahulu keseluruhannya untuk SUV segmen-B, tetapi juga kedudukannya sebagai SUV paling popular di Malaysia, satu kejayaan yang dipegang sejak pelancarannya pada bulan Oktober 2020. Sebanyak 2,449 unit telah dijual pada Jun manakala secara kumulatif, 17,562 unit telah diserahkan tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 9.9% berbanding tahun 2022.
Peneraju segmen keseluruhan kelima Proton ialah Exora, yang kekal tidak dicabar dalam pasaran MPV segmen-C. Sebanyak 368 unit telah dijual pada Jun, membawa kepada peningkatan terkumpul sebanyak 21.5%..
Sementara itu, Iriz mencapai jualan sebanyak 842 unit pada Jun, ketiga terbaik dalam segmennya, tetapi jualan keseluruhan telah mencerminkan prestasi Iriz dengan lonjakan 58.6% tahun ini. Bagi X70 pula, ia mencatatkan prestasi kedua terbaiknya untuk tahun ini dengan 1,245 unit dijual bulan lepas.
“Prestasi Proton pada separuh pertama tahun 2023 patut diberi perhatian kerana kami mencapai permulaan tahunan yang terbaik sejak tahun 2012 dan juga berada di landasan untuk pertumbuhan jualan bagi tahun kelima berturut-turut. Angka-angka itu menunjukkan permintaan untuk produk kami kekal kukuh walaupun unjuran pengurangan kuasa beli untuk pengguna, dan ini terbukti dengan kadar pertumbuhan kami yang mengatasi pasaran keseluruhan lebih tiga kali ganda.
“Ia juga menunjukkan bahawa strategi kami menawarkan produk berkualiti tinggi dengan teknologi ketersambungan pada harga yang berbeza-beza membolehkan kami meliputi sebahagian besar pembeli kereta Malaysia, ” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Tambah Roslan lagi, untuk separuh kedua tahun ini, Proton lebih yakin kerana mempunyai produk dan strategi promosi untuk meneruskan trajektori pertumbuhan syarikat. “Kami juga akan melaksanakan rancangan kami untuk mengemas kini rangkaian kami, melancarkan kemasukan kami ke pasaran EV Malaysia dengan PRO-NET dan meningkatkan lagi kualiti produk kami melalui pelaburan yang diumumkan tahun ini untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran kami,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.