Dalam dunia motosikal sekarang sedang hangat tentang kemunculan dua model kapasiti pertengahan yang dikeluarkan oleh pengeluar terkemuka, Harley-Davidson dan Triumph dengan kerjasama dua pengeluar motosikal terbesar di India, iaitu Hero Motocorp dan Bajaj Motorcycles. Ia adalah Harley-Davidson X440 dan Triumph Speed 400 (dan juga Scrambler 400).
Dengan spesifikasi penuh yang sudah dikeluarkan apabila kedua-duanya dilancarkan buat pertama kali di India, menarik untuk kita lihat di manakah perbezaannya dan mungkin boleh membantu sekiranya anda berkira-kira untuk memiliki sebuah motosikal klasik moden kelas ini. Walaupun masih awal, ketibaan dua model ini ke pasaran Malaysia adalah tidak mustahil.
Melihat pertama sekali kepada penampilan, Speed 400 yang dihasilkan oleh Triumph dengan kerjasama Bajaj nampak lebih premium dengan kemasan brushed aluminium, penutup bahagian tepi enjin powder coated, fork berwarna emas, cermin sisi di hujung pemegang serta cat dua tona pada tangki.
Pergi pula kepada dimensi, Speed 400 menyediakan tempat duduk yang lebih rendah iaitu 790 mm berbanding 805 mm pada X440, manakala jarak roda pula X440 lebih panjang (1,418 mm vs 1,377 mm). Dalam keadaan sedia ditunggang, X440 adalah lebih berat, dengan catatan 190.5 kg, manakala Speed 400 adalah 176 kg. Tangki bahan api X440 adalah 0.5 liter lebih besar, iaitu 13.5 liter, berbanding 13 liter pada Speed 400.
Pada bahagian enjin, kedua-duanya menggunakan unit satu silinder dengan sistem suntikan bahan api tetapi dengan kapasiti yang berbeza iaitu 398 cc untuk Speed 400 dan 440 cc untuk X440. Walaupun nampak enjin Speed 400 lebih kecil, ia sebenarnya lebih berkuasa dengan mampu menghasilkan 39.5 hp pada 8,000 rpm dan 37.5 Nm pada 6,500 rpm. Enjin X440 pula cuma mampu menghasilkan 27 hp pada 6,000 rpm dan 38 Nm pada 4,000 rpm.
Penggunaan nisbah mampatan yang lebih tinggi, iaitu 12:1 pada Speed 400 (berbanding 9.5:1 pada X440) mungkin antara sebab enjinnya menjadi lebih berkuasa, dan ia juga mendapat kelebihan lain seperti DOHC dan sistem penyejukan cecair. Untuk transmisi, kedua-duanya menggunakan unit enam kelajuan.
Kami menjangkakan terdapat rasa tunggangan yang berbeza antara dua motosikal ini memandangkan ia menggunakan tetapan suspensi yang berlainan di belakang (dua penyerap hentak dengan lengan ayun besi petak pada X440 dan satu penyerap hentak dengan lengan ayun cast aluminium pada Speed 400), sementara fork hadapan adalah sama iaitu unit 43 mm USD (tanpa pelarasan).
Selain daripada itu, X440 juga datang dengan rim berbeza saiz, iaitu 18 inci dengan tayar 100/90 di hadapan, dan 17 inci dengan tayar 140/70 di belakang, sementara pada Speed 400, kedua-duanya adalah unit 17 inci (tayar 110/70 dan 150/60). Brek kedua-dua model ini menggunakan tetapan cakera hadapan dan belakang, bersama angkup dari Bybre serta sistem ABS secara standard, tetapi saiz cakera X440 adalah lebih besar (320 mm/240 mm vs 300 mm/230 mm).
Satu lagi perbezaan besar antara dua model ini adalah pada bahagian meter, di mana Speed 400 masih lagi menggunakan unit gabungan analog dan LCD, sementara X440 mendapat unit TFT 3.5 inci, yang boleh disambung kepada telefon pintar dan memberikan paparan navigasi bagi varian paling tinggi.
Melihat kepada kelengkapan lain, kedua-duanya mendapat semua lampu jenis LED, tetapi Speed 400 mendapat satu lagi kelebihan pada sistem keselamatan, di mana ia datang dengan kawalan cengkaman yang boleh ditutup menggunakan suis pada pemegang.
Akhir sekali berkenaan harga, kita masih belum dapat membuat perbandingan kerana harga untuk Speed 400 masih belum didedahkan, tetapi untuk X440, ia ditawarkan dalam tiga varian dengan harga antara 229,000 rupee (RM13,029) hingga 269,000 rupee (RM15,305).
GALERI: Harley-Davidson X440
GALERI: Triumph Speed 400
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.