Kia Picanto generasi ketiga kini diberikan facelift buat kali kedua, dengan membawa penampilan yang lebih menyerlah, inspirasi daripada SUV elektrik EV9. Hatchback segmen A ini sekarang nampak lebih garang dan moden dengan lampu utama berbentuk Y serta gril tengah yang mempunyai jalur krom tebal.
Di belakang juga lampunya menggunakan rekaan baru, dengan mendapat sambungan jalur LED di bahagian tengah, sementara bampar baru mempunyai pemantul cahaya menegak di setiap penjuru. Menambahkan ciri sporty, terdapat diffuser di bahagian tengah dan muncung ekzos disembunyikan.
Penampilan agresif ini sebenarnya adalah untuk model GT-Line. Sekiranya mahukan sesuatu yang lebih biasa, versi asas juga ada ditawarkan, seperti yang boleh dilihat melalui model yang terdapat dalam laman web Kia Korea Selatan. Rekaan bamparnya lebih ringkas, dengan di hadapan tidak mempunyai kemasan tambahan di bahagian bukaan bawah, sementara di belakang ia tidak mempunyai diffuser.
Perubahan di bahagian dalam tidak begitu banyak, dengan papan pemuka masih kelihatan sama, tetapi terdapat skrin sesentuh lapan inci baru di bahagian tengah. Sistem yang digunakan untuk infotainmen boleh disambung dengan Android Auto dan Apple Carplay, dan ia juga boleh disambung kepada internet untuk membolehkan kemas kini perisian secara dalam talian.
Satu lagi perubahan utama adalah panel instrumen, yang mendapat unit digital 4.2 inci. Turut disediakan adalah pendingin hawa automatik, tempat duduk hadapan dengan ciri pemanas, tempat duduk pemandu berliang serta pelbagai sistem bantuan pemandu (ADAS).
Ini termasuklah Forward Collision-Avoidance Assist (AEB), Blind Spot Monitoring, Lane Keep Assist, Lead Vehicle Departure Warning, Lane Follow Assist, Rear Cross Traffic Alert, Driver Attention Warning dan Speed Limit Assist.
Pemilik Picanto baru ini juga boleh menjadikan kenderaan mereka lebih unik dengan pilihan rim bersaiz 14 hingga 16 inci, sembilan warna badan (empat yang baru adalah Signal Red, Smoke Blue, Sporty Blue dan Adventurous Green), balutan dalam fabrik atau kulit (bergantung kepada varian) serta pelbagai jenis kemasan lain.
Berkenaan enjin, Picanto tidak lagi ditawarkan dengan enjin tiga silinder 1.0 liter turbo T-GDI berkuasa 100 PS (99 hp atau 74 kW), dan sekarang hanya datang dalam dua pilihan enjin NA iaitu tiga silinder 1.0L MPI atau empat silinder 1.2L MPI.
Kia tidak mendedahkan jumlah kuasa sebenar, tetapi mengikut spesifikasi sebelum ini, enjin 1.0L itu mampu menghasilkan 67 PS (66 hp atau 49 kW), manakala enjin 1.2L berkuasa 84 PS (83 hp atau 62 kW). Transmisi terdiri dari sama ada unit manual lima kelajuan, atau manual automatik lima kelajuan, untuk menghantar kuasa ke roda hadapan. Di Korea Selatan, Picanto hanya datang dengan enjin 1.0L dan transmisi automatik empat kelajuan.
GALERI: Kia Picanto GT-Line facelift 2023 (pasaran Eropah)
GALERI: Kia Picanto facelift 2023 (pasaran Korea Selatan)
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.