Kementerian Pengangkutan (MoT) akan memohon peruntukan sebanyak RM10 juta dari Kementerian Kewangan (MoF) tahun hadapan bagi membolehkan lebih ramai individu dari golongan B40 memperoleh lesen motosikal menerusi program MyLesen B2.
Menteri MoT Anthony Loke berkata, peruntukan tersebut dapat memberikan manfaat buat lebih 30,000 individu yang layak menyertai program tersebut, berbanding 9,000 individu setahun seperti sebelum ini, laporan Bernama.
“Kami bercadang untuk memohon lebih banyak peruntukan tahun depan iaitu dua kali ganda atau tiga kali ganda (daripada peruntukan tahun ini sebanyak RM2.7 juta), mungkin RM10 juta. Inisiatif ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mendidik orang ramai tentang kesedaran pematuhan peraturan jalan raya dan budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan belia,” kata Loke.
Tambah beliau, program MyLesen B2 merupakan komitmen dan usaha kerajaan untuk membantu golongan B40 meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang dalam sektor ekonomi gig dan banyak lagi.
“Usaha itu juga didorong oleh hasrat kerajaan untuk sentiasa mempergiatkan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% menjelang 2030,” katanya.
Merujuk kepada FAQ rasmi seperti di atas, program ini menawarkan lesen motosikal kelas B2 (motosikal tidak melebihi 250 cc) kepada mereka yang memenuhi keperluan. Mereka yang layak tidak akan dikenakan bayaran kerana kos latihan dan peperiksaan (termasuk ulangan) akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.