Mitsubishi Triton 2023 guna casis ladder frame dan enjin 4-silinder turbodisel bersih baru; lancar 26 Julai

Mitsubishi Triton 2023 guna casis <em>ladder frame</em> dan enjin 4-silinder turbodisel bersih baru; lancar 26 Julai

Awal sebelum pengenalan rasmi Mitsubishi Triton generasi keenam pada 26 Julai ini di Thailand, pengeluar Jepun itu telah mendedahkan beberapa perincian berkaitan trak pikap berkenaan. Sebelum ini, ada teaser sudah dikeluarkan menunjukkan rekaan Triton, yang dipamerkan sebagai XRT Concept awal Mac lalu.

Menurut Mitsubishi, Triton terbaru ini dibangun menggunakan ladder frame dengan suspensi depan double wishbone, dan jenis leaf spring di belakang. Tetapan yang sama digunakan untuk Triton sebelum ini, dan Mitsubishi masih belum mendedahkan apa pembaharuan yang telah dibuat, selain menyatakan ia “pembangunan baru” dan suspensi pula dengan “rekaan baru”.

Ada khabar angin bertiup mengatakan casis ladder-frame Triton baru ini akan dikongsi bersama Nissan Navara, walaupun diberi kemaskini yang banyak untuk disesuaikan dengan kegunaan Mitsubishi. Untuk model XRT Concept, yang menjadi cerminan kepada model baru Triton ini, garis tingkapnya nampak menyerupai bahagian sama pada Navara, sementara garis J yang sebelum ini memisahkan kabin dan ruang karga juga tiada lagi. Satu kelebihan platform baru ini ialah jarak antara roda, dengan ukuran pada Navara ialah 3,150 mm, lebih 150 mm berbanding Triton sedia ada.

Perlu dinyatakan, leaf spring untuk suspensi belakang Triton baru ini adalah berbeza daripada Navara, yang menggunakan tetapan five-link dengan gegelung spring untuk bahagian belakang — double wishbone sama untuk bahagian depan. Pengeluarnya bagaimanapun menjamin prestasi pemanduan dan keselesaan tahap tinggi.

Info baru untuk enjin juga ada: Triton baru ini bakal menggunakan enjin turbodiesel bersih yang baru. Tetapi, tiada perincian lanjut yang diberikan setakat ini, namun ada laporan yang menyebut unit 4N15 akan digantikan dengan unit 4N16 yang lebih baru.

Unit 4N15 empat-silinder mempunyai kapasiti 2,442 cc dan menghasilkan 181 PS (178 hp atau 133 kW) dan 430 Nm tork. Sementara itu, unit 4N16 yang lebih baru, juga dengan empat-silinder, mempunyai sesaran yang lebih kecil dengan 2,439 cc dan ketika ini digunakan untuk Caravan generasi keenam (atau dikenali sebagai Urvan NV350).

Dalam Caravan, enjin berkenaan menghasilkan sebanyak 132 PS (130 hp atau 97 kW) dan 370 Nm, walaupun untuk Triton nanti angka ini dijangka lebih besar. Menurut Mitsubishi, enjin turbodiesel bersih baru itu nanti akan memberi peretasi persekitaran yang lebih baik dengan mengurangkan kehilangan geseran, dan memberikan output lebih tinggi.

Seperkara lain, untuk Caravan, enjin berkenaan digandingkan bersama transmisi automatik tujuh-kelajuan daripada Jatco. Jika ini juga digunakan oleh Triton, maka ia merupakan naik taraf daripada kotak gear automatik enam-kelajuan sebelum ini.

Sementara itu, dalam video yang disertakan, ditunjukkan pembangunan yang dijalankan terhadap Triton untuk permukaan sukar. Satu daripada paparannya juga menunjukkan sedikit bahagian dalaman, yang akan hadir dengan sistem infotaimen dengan skrin sentuh berdiri, seperti dalam teaser sebelumnya. Panel instrumen dengan meter analog juga kelihatan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required