Sebagai sebahagian daripada manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, PAS Terengganu
menawarkan kemudahan pinjaman tanpa faedah untuk membeli motosikal bagi individu bekerja berpendapatan maksimum RM4,000 sebulan.
Menurut Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, tawaran ini antara janji kerajaan PAS yang akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk memerintah, laporan Sinar Harian.
“Pada PRU14, PAS Terengganu menunaikan semua 20 manifesto yang dijanjikan sepanjang pemerintahan malah ada lagi yang sedang berjalan.
“Tawaran seterusnya ialah membina ‘township mosque’ sebagai masjid yang baharu dan lengkap dengan fasiliti merangkumi ekonomi, sukan, rekreasi, pendidikan, sosial, komuniti, kesihatan dan kebajikan,” katanya yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos 2023 sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN). Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Sebelum ini Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lepas, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.